goh-v-shem-tan-wee-kiong

Oleh Ku Mohd Lufti

Beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong meraih gelaran pertama badminton Siri Super apabila menjuarai Kejohanan Terbuka Denmark di Odense Sports Park.

V Shem dan Wee Kiong yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, bangkit daripada ketinggalan di set pertama sebelum berjaya menjinakkan beregu Thailand, Bodin Isara-Nipitphon Phuangphuapet dengan keputusan 14-21, 22-20, 21-19.

Kali terakhir Malaysia menjuarai kategori beregu lelaki adalah pada 2009 menerusi gandingan Koo Kien Keat – Tan Boon Heong yang turut berjaya merangkul kemenangan pada 2007.

 V Shem dan Wee Kiong kini menghuni tangga teratas dalam ranking bagi Superseries Dunia dengan 41 710 mata, dibezakan 570 mata dengan pasangan dari China, Chaio Biao – Hong Wei.

Gandingan Goh V Shem dan Wee Kiong akan meneruskan saingan ke Terbuka Perancis yang dijadual bermula pada esok.

V Shem – Wee Kiong akan berdepan pasangan dari Denmark, Kim Astrup – Anders Skaarup Rasmussen di pusingan pertama nanti.

- Advertisement -