mario_gomez_jdt
Mario Gomez

Oleh Muhammad Aiman

Pergeseran yang berlaku di antara pengendali skuad kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee dan ketua jurulatih Johor Darul Takzim, Mario Gomez segera menemui titik penyelesaian setelah kedua-dua pihak mengadakan pertemuan khas di Johor Bharu pada Rabu.

Pertemuan yang turut dihadiri Penasihat Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu menyaksikan pelbagai input, pendapat dan idea dikongsi bersama sekaligus membawa kepada jalinan kerjasama positif untuk memajukan bola sepak negara yang dilihat semakin tenat.  

Di sebalik sentiasa kritis dan berpandangan sinis akan pembangunan serta pencapaian skuad kebangsaan, Tunku Ismail atau Tunku Mahkota Johor menyatakan kesediaannya untuk membantu Kim Swee dan barisan kejurulatihannya memulihkan imej skuad kebangsaan yang teruk tercalar di arena antarabangsa.

“Melalui pertemuan ini, saya telah membuat keputusan bahawa JDT akan membantu pasukan kebangsaan dari pelbagai cara seperti memberi kebenaran untuk menggunakan kemudahan dan fasiliti latihan JDT, menggunakan Stadium Larkin untuk perlawanan penting dan berkongsi idea tentang apa sahaja berkaitan pasukan kebangsaan. Saya percaya penting untuk semua pihak bekerjasama demi kepentingan pasukan kebangsaan kita,” kata TMJ dalam laman facebook rasmi JDT.

Kim Swee yang menghadiri pertemuan itu ditemani penolongnya, Brad Maloney kagum dengan inisiatif diambil TMJ dan gembira dengan input yang diperoleh dari pertemuan ini sambil menjelaskan ia secara tidak langsung dapat membantu menjernihkan hubungan dingin antara barisan kejurulatihan skuad kebangsaan dan JDT ekoran kenyataan Gomez sebelum ini.

“TMJ menunjukkan visi dan keinginan yang jelas untuk membantu mengangkat semula martabat skuad kebangsaan. Beliau cukup prihatin dengan prestasi semasa Harimau Malaysia dan saya menyambut baik usaha ini.

“Banyak perkara yang telah dibincangkan termasuk mengenai jadual latihan skuad kebangsaan dan penambahbaikkan yang boleh dibuat terhadap pasukan kebangsaan menjelang aksi play-off Piala Asia 2019 dan saya rasa ini turut menjelaskan bahawa tiada lagi timbul perselisihan antara skuad kebangsaan dan JDT,” ujar Kim Swee.  

Kontroversi tercetus sebelum ini apabila Gomez menyalahkan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan di atas prestasi lesu pemain JDT yang kembali dari tugasan antarabangsa sehingga melepaskan dua gol kepada Polis Diraja Malaysia dalam aksi suku akhir Piala FA, walaupun pasukannya mencatat kemenangan 5-2.

Kim Swee telah memanggil tujuh pemain Harimau Selatan untuk menyertai kem kebangsaan bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Arab Saudi diikuti perlawanan persahabatan menentang Macau dan membalas kenyataan Gomez dengan menyatakan bahawa komen sebegitu tidak wajar dikeluarkan oleh seorang jurulatih.   

- Advertisement -