Terengganu memasang impian untuk mengungguli temasya Sukan Malaysia (SUKMA) untuk kali keempat pada tahun 2018 dimana Perak bakal menjadi tuan rumah.

Misi pemburuan gelaran juara keseluruhan bagi temasya yang memasuki edisi ke 19 itu telah dirangka oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dengan lebih awal.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat menjelaskan, sehingga kini, program persediaan sudah memasuki fasa kedua melibatkan hampir 700 atlet daripada pelbagai acara sukan yang akan dipertandingkan.

“Latihan khusus dan persediaan akan diselia oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan saya telah meminta mereka supaya membuat kajian lebih awal terhadap sukan sukan yang dijangka akan memberikan pingat.

“Kita akan memberikan latihan intensif termasuklah latihan di luar negara dan sebagainya,”Kata Rozi.

Daripada 700 atlet yang menjalani latihan fasa kedua, jumlah ini akan berkurangan kepada 500 orang atlet yang akan diputuskan pada Disember.

Dato’ Rozi berkata demikian selepas merasmikan Majlis Himpunan Kontinjen SUKMA Terengganu menjelang ‘Kira Detik Setahun Sebelum SUKMA 2018’ di Dewan Arena, Stadium Tertutup Gong Badak, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Zubir Embong dan Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu.

Terengganu merangkul gelaran juara keseluruhan bagi SUKMA pada tahun 2008, 2010 dan 2012 serta menduduki tangga ketiga pada temasya tahun lalu, dibelakang Selangor dan tuan rumah, Sarawak.

- Advertisement -