Kemeriahan saingan lumba berbasikal jelajah Malaysia edisi 2017 bermula dengan kegembiraan buat pasukan berstatus benua dari pantai timur Malaysia, Terengganu Cycling (TSG) apabila Nur Amirul Fakhruddin Mazuki menjuarai peringkat pertama dari Shah Alam ke Hutan Melintang, Perak.

Pelumba kelahiran Terengganu ini menamatkan perlumbaan terpanjang dalam Jelajah Malaysia edisi ke 53 sejauh 161.9 kilometer dengan catatan masa 3 jam 52 minit 46 saat.

“Selepas melepasi zon pecutan di Kuala Selangor, saya ketinggalan beberapa kali tetapi berjaya untuk berada di kelompok depan.

“Perancangan kami adalah untuk memenangi satu jersi, tidak kira warna untuk perlumbaan ini dan kami perlu pastikan sesiapa sahaja berada di depan dan cuba memenangi perlumbaan,” kata Amirul.

Amirul memulakan kayuhan tatkala rakan rakan yang lain termasuk adik beradik, Mohd Zamri dan Hariff Saleh, serta Adiq Hussaini Othman bergelut dengan keadaan laluan untuk memburu podium setelah meraih mata di zon pecutan di Kuala Selangor.

Beliau yang berada di kelompok kedua (chaser) mengekori rapat pelumba pelumba yang berada di kelompo pendahulu sebelum memulakan henjutan di penghujung perlumbaan untuk muncul juara.

Kemenangan peringkat pertamanya dalam penglibatan di Jelajah Malaysia selepas pertama kali beraksi di perlumbaan berstatus 2.2 pada 2015 cukup bermakna.

Namun, kerana kecuaiannya gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan mengundang padang apabila beliau terlepas peluang untuk menyarung jersi kuning (pendahulu keseluruhan) selepas dikenakan penalty tambahan 20 saat oleh panel Comissaire.

“Di Kilometer 18, trayar saya pancit dan tertinggal jauh, saya berkayuh dibelakang kenderaan lain sehingga ke kereta pasukan (Team Car) yang terakhir, apapun saya terima keputusan ini,”katanya lagi.

Kemenangan Amirul ditentukan menerusi Photo Finish selepas dilihat melintasi garisan penamat bersama sama dua lagi pelumba, Abdul Gani daripada KFC dan Thomas Ryan daripada Oliver Food Racing.

Abdul Gani disahkan menamatkan perlumbaan ditempat kedua manakala Ryan berpuas hati di tangga ketiga.

Amirul masih mampu tersenyum apabila sekali lagi menaiki podium selaku raja pecut selepas mengumpul 26 mata.

Beliau meraih 11 mata di tiga zon pecutan di Kuala Selangor, Sekinchan dan Sungai Besar manakala bonus 15 mata selepas menamatkan pelumbaan di tempat pertama.

Jersi Raja Bukit (Polka Dot) pula menjadi milik Abdul Gani yang berkongsi empat mata dengan dua lagi pelumba, Peerapol Chawchinagkwang dan Aiman Cahyadi daripada Sapura Cycling.

Abdul Gani turut merangkul jersi utama selaku pendahulu keseluruhan (jersi kuning), mengumpul 3 jam 52 minit 40 saat, mengatasi Ryan Thomas dengan kelebihan dua saat.

Ryan Thomas meraih jersi kelabu selaku pelumba muda terbaik manakala seorang lagi pelumba negara, Muhammad Zawawi Azman turut menaiki podium selaku pelumba terbaik Malaysia. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

 

Keputusan Peringkat Pertama Jelajah Malaysia 2017

Shah Alam ke Hutan Melintang (161.9KM)

  1. Nur Amirul Fakhruddin Mazuki (TSG) – 3:52:46
  2. Abdul Gani (KFC) – 3:52:46
  3. Ryan Thomas (OLI) – 3:52:46
  4. Aiman Cahyadi (TSC) – 3:52:46
  5. Peerapol Chawchiangkwang (TCC) – 3:52:46

 

Kedudukan Jersi

Kuning : Abdul Gani (KFC)

Hijau : Nur Amirul Fakhruddin Mazuki (TSG)

Polka Dot : Abdul Gani (KFC)

Kelabu : Ryan Thomas

Merah : Muhammad Zawawi Azman (TSG)

- Advertisement -