Keyakinan cukup tinggi di kem Kelantan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Emas Raja-Raja 2017 pada Sabtu ini tatkala mereka bersedia melayan kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Dengan bekalan selesa dua gol hasil kemenangan 2-0 di separuh akhir pertama, Kelantan ibarat sudah sebelah kaki ke final dan pengendalinya Kamaruddin Mohamad percaya mereka mampu mempertahankan kelebihan tersebut seterusnya menjejak kaki ke final buat kali pertama sejak 2010.

“Kuala Lumpur pastinya mahu bangkit dan cuba mencari jaringan awal untuk terbalikkan keputusan namun saya percaya bukan mudah untuk menjaringkan tiga gol di tempat kita. Ianya satu tekanan kepada mereka manakala kita pula perlu bermain tanpa tekanan dan tidak melakukan kesilapan.

“Malah saya percaya bermain di tempat sendiri pemain-pemain saya akan tampil dengan satu permainan lebih bertenaga berbanding separuh akhir pertama tempoh hari. Kita masih perlu perbaiki sentuhan penyudah terutamanya dan pemain tahu apa tanggungjawab mereka,” kata Kamaruddin ketika dihubungi Sports247. 

Pada aksi separuh akhir pertama yang berlangsung 21 Oktober lalu, Kelantan yang mempertaruhkan skuad MPKB-BRI-UBES mencatat kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur menerusi jaringan Fikram Mohamad pada minit ke-19 dan jaringan sendiri Azwan Nasyriq pada penghujung perlawanan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Kelantan (PBSMK), Datuk Takiyuddin Hassan mahu final PERR yang memasuki edisi ke-77 ini dilangsungkan di Kota Bharu seandainya pasukan itu berjaya meneruskan kemaraan.

Menurutnya, “Sudah menjadi tradisi sejak dahulu bila kita masuk final, kita diberi penghormatan selaku tuan rumah. Kita juga minta bermain di Kota Bharu atas beberapa faktor antaranya kehadiran penyokong yang begitu ramai lebih-lebih lagi ini adalah kemuncak kejohanan.

“Selain itu, saya yakin pengalaman PBSMK yang pernah mengendalikan perlawanan akhir sebelum ini termasuklah yang ketika kali terakhir layak ke final pada 2010 memberi sedikit kelebihan untuk kita menjadi tuan rumah.” – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -