Perejam kebangsaan, Hanafiah Dollah menjadi watak utama di dalam menafikan hajat besar Perak Bison untuk melakar kejutan ke atas Terengganu Turtles dalam aksi Sepaktakraw League (STL) Premier yang berlangsung pada Ahad di Stadium Majlis Perbandaran Serdang Jaya.

Perak Bison yang memburu kemenangan kedua minggu ini turun tanpa killer utama Amirul Ramdhan Suhaimi yang mengalami kecederaan. Mereka membariskan Fadzil Mustafa sebagai pengganti, bergandingan dengan Meor Zulfikar Mat Amin dan Izham Idris.

Pasukan bimbingan Ismi Hissan Ismail itu dilihat berada di ambang kemenangan mudah apabila menang set pertama 21-12 dan kemudiannya mendahului selesa 16-10 dan 18-13 di set kedua.

Namun Hanafiah yang dibawa masuk pada set kedua membantu Terengganu Turtles bangkit dua kali mengikat kedudukan 18-18 dan kemudiannya 20-20 sebelum libasan bertenaganya memastikan kemenangan 22-20 buat pasukan dari pantai timur itu sekaligus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Hanafiah yang berganding dengan seorang lagi pemain berpengalaman, Zulkifli Razak dan Azwan Muhrim kemudiannya melengkapkan episod kebangkitan Terengganu Turtles dengan memenangi set ketiga 21-17 sekaligus menyaksikan mereka melakar kemenangan keempat berturut-turut.   

“Jujur saya cakap memang tidak sangka kami boleh bangkit. Set pertama memang perancangan saya bagi pemain muda main, servis dah ok tetapi pertahanan kurang menjadi. Kemudian saya masukkan Zulkifli dan Hanafiah yang lebih berpengalaman di set kedua tapi saya ingat kita dah tiada peluang.

“Kita ketinggalan jauh dan Perak juga sangat bagus terutama pemain tonggak mereka (Meor Zulkifli) yang banyak melakukan servis yang gagal disambut pemain kami. Apabila sudah mengikat kedudukan 20-20 (set kedua), saya mula yakin dan beritahu pemain mereka boleh menang perlawanan ini,” kata jurulatih Terengganu Turtles, Rosmadi Abdul Ghani.  

Terengganu Turtles menamatkan minggu ketiga dengan kekal di kedudukan pendahulu hasil lima kemenangan dari enam perlawanan manakala juara bertahan Penang Black Panthers mengekori rapat di tangga kedua dengan hanya beza set.

Dalam aksi yang berlangsung lebih awal, Penang Black Panthers turut melakar kemenangan kelima setelah gandingan Syahir Rosdi-Zaim Razali-Azlan Alias menundukkan trio Kuala Lumpur Thunder (Ezzat Zaki-Masran Rahman-Norhafizi Razak) dengan keputusan 2-0 (25-24, 21-16). 

Manakala satu lagi perlawanan menyaksikan ATM Guardians mencatat kemenangan ketiga dengan menundukkan Selangor Pistons 2-0 (21-14, 21-17). – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -