Terengganu Turtles bangkit dari kekalahan mengejut kepada pendatang baru Selangor Pistons pada minggu pembukaan untuk merampas kedudukan pendahulu Sepaktakraw League (STL) Premier setelah tamat aksi minggu kedua di Stadium Majlis Perbandaran Serdang Jaya (MPSJ) pada Ahad.

Pasukan yang diperkuatkan beberapa tonggak berpengalaman antaranya Hanafiah Dollah, Zulkifli Razak dan Safarudin Abu Bakar itu melakar dua kemenangan dengan menewaskan Johor Tigris dan kemudiannya membuktikan reputasi selaku pasukan pilihan apabila meleburkan rekod tanpa kalah juara bertahan Penang Black Panthers.

Dengan tiga kemenangan dari empat perlawanan, Turtles menolak Black Panthers bimbingan Sufian Napiah yang turut mencatat tiga kemenangan ke tangga kedua menerusi beza set.

Finalis musim lalu, Kuala Lumpur Thunder yang menamatkan minggu pembukaan tanpa kemenangan pula mencuri tumpuan apabila tampil dengan aksi penuh bertenaga untuk turut melakar dua kemenangan tanpa tewas sebarang set seterusnya melonjak ke kedudukan ketiga.

Dibarisi pemain-pemain tonggak seperti Amirul Zazwan Amir, Idham Sulaiman dan Norhafizi Razak, KL Thunder menterjemahkan permainan yang jauh lebih baik dan bermula dengan kemenangan 2-0 ke atas Selangor Piston sebelum melengkapkan minggu cemerlang mereka dengan mengatasi Johor Tigris 2-0.

Tatkala pasukan lain seperti juara Divisyen Satu, Perak Bison, ATM Guardians dan Selangor Pistons menutup tirai minggu kedua dengan satu kemenangan, ianya minggu yang pastinya mahu dilupakan Kelantan Warriors dan Johor Tigris setelah kedua-duanya gagal merakamkan sebarang kemenangan. 

Warriors bimbingan Rozi Rahman mengalami kekalahan ketiga berturut-turut setelah kecundang 1-2 kepada Black Panthers dan 0-2 kepada ATM Guardians. Pasukan itu menghuni tangga ketujuh dengan hanya satu kemenangan yang dicatat pada aksi pertama ketika menewaskan KL Thunder pada 30 September lalu.

Sementara Johor Tigris yang mempertaruhkan nama-nama seperti Zamree Dahan dan Noraizat Nordin pula bukan sahaja tewas kedua-dua perlawanan kepada Turtles dan KL Thunder, namun menjadi satu-satunya pasukan gagal menang walau satu pun set pada minggu kedua.

Saingan STL Premier minggu ketiga akan kembali bersambung pada 13 – 15 Oktober ini dengan semua perlawanan berlangsung di Stadium MPSJ. – OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -