Dua pasukan berstatus benua negara, Sapura Cycling (TSC) dan Terengganu Cycling memulakan kalendar musim 2018 dengan kejayaan podium.

Di Indonesia, pelumba kelahiran Switzerland yang beraksi untuk pasukan Sapura Cycling (TSC), Dylan Page meraih podium selaku juara peringkat pertama Jelajah Indonesia hari ini.

Beliau menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 2 jam 41 minit 54 saat untuk muncul juara sekaligus mengatasi pelumba tuan rumah yang beraksi untuk skuad kebangsaan Indonesia, Projo Waseso dan Abdul Gani (KFC Cycling).

Turut cemerlang, pada peringkat pertama, pelumba Terengganu Cycling (TSG) Mohd Shahrul Mat Amin yang menamatkan perlumbaan di tangga kelima manakala Nur Amirul Fakhruddin Mazuki menamatkan perlumbaan ditangga ke sembilan.

Bagi Pengurus Pasukan TSC, Sayuti Mohd Zahit, kejayaan ini adalah permulaan yang positif, malah tidak akan berjaya tanpa kerjasama dikalangan pelumba TSC.

Peringkat pertama Jelajah Indonesia 2018 bermula dari Prambanan, Yogyakarta dan tamat di Ngawi, dengan jarak 124.7km.

Jelas Sayuti, diawal perlumbaan, Awie (Muhammad Zawawi Azman) melakukan breakaway untuk membentuk kelompok pendahulu dan diekori 14 pelumba.

Jarak diantara kelompok pendahulu mencapai lebih dua minit selepas melepasi zon pecutan kedua di Karangmalang.

“Awie (Muhammad Zawawi Azman ) dan sembilan lagi pelumba kembali semula dalam peloton selepas itu dan menanti di 15km terakhir.

“Kami mengawal peloton dan pada masa membantu Dylan untuk ke garisan penamat. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama dan strategi yang baik daripada pasukan,”kata Sayuti.

Bagi Dylan Page, laluan landai menjadi kegemarannya sebagai pakar pecut dan tidak akan melepaskan peluang untuk meraih podium.

“Sudah tentu saya gembira meraih kemenangan pada hari ini kerana laluan yang landai dan merupakan kelebihan buat pakar pakar pecut yang lain.

“Esok juga merupakan perlumbaan yang landai dan saya tidak akan melepaskan peluang untuk memburu podium seperti hari ini,”kata Dylan.

Peringkat kedua esok, perlumbaan akan bermula dari Madiun dan tamat di Mojokerto dengan jarak 117.7km.

Sementara itu, satu lagi pasukan berstatus benua negara, Terengganu Cycling (TSG) turut melakar kejayaan apabila pakar pecutnya, Mohd Hariff Salleh menamatkan Jelajah Sharjah di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Nama nama seperti Jakub Mareczko yang beraksi untuk pasukan Wilier Triestina – Selle Italia Bryan Coquard (Vital Concept Cycling Club) tampak tidak memberi tekanan buat Hariff

Perlumbaan sejauh 151.6km dari Al Batayeh menuju ke Al Malaiha manyaksikan pertarungan sengit dalam kelompok besar untuk memburu podium.

Jelas Hariff Saleh, beliau melakukan henjutan terakhir ketika 100meter menghampiri penamat dan bersaing sengit dengan pelumba pelumba lain.

“Angin membantu saya hari ini untuk meraih podium, peringkat hari ini adalah landai dan saya sudah menjangkakan penamat dalam kelompok besar.

“Tanpa bantuan rakan sepasukan, saya tidak akan berjaya dan matlamat saya untuk tahun ini adalah menaikkan semula nama TSG,”kata Hariff Saleh.

Tambahnya lagi beliau akan cuba untuk meraih podium seperti hari ini pada peringkat keempat dengan jarak sejauh 139.4km dimana perlumbaan akan bermula dan tamat di Sharjah.OLEH KU MOHD LUFTI 

 

- Advertisement -