Kem badminton Malaysia menerima tamparan hebat apabila gagal mempertahankan pingat emas dalam acara berpasukan campuran selepas tewas 2-3 kepada India dalam perlawanan final hari ini.

Kejutan berlaku apabila Malaysia ketinggalan 0-2 menerusi bergu campuran dan perseorangan lelaki.

Turun memulakan aksi pemburuan pingat emas, bergu campuran menyaksikan pertemuan diantara gandingan Chan Peng Son/Goh Liu Ying yang berdepan Satwik Rankireddy/Ashwini Ponnappa

Turun dengan kelebihan pengalaman tampak tidak menggugat gandingan India yang menduduki ranking ke 57 dunia.

Permainan yang aggresif dipamer Satwik dan Ashwini tatkala menanti peluang untuk mencari mata menerusi smash dan permainan di jaring.

Peng Soon/Liu Ying yang juga pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Rio nyata tidak mampu untuk mencabar corak permainan lawan apabila tewas 14-21 di set pertama.

Bergu campuran negara yang menduduki ranking ke 56 dunia bangkit dengan aksi yang lebih kemas di set kedua untuk menang 21-15.

Keserasian tampak belum wujud diantara Peng Soon dan Liu Ying apabila sering kali melakukan kesilapan mudah yang memberi mata mudah kepada lawan.

Set ketiga menjadi milik Satwik Rankireddy/Ashwini Ponnappa, 21-15 sekaligus memberikan mata pertama untuk India.

Turun selepas itu aksi perseorangan lelaki diantara Datuk Lee Chong Wei dan pemain ranking kedua dunia, K Srikanth.

Empat pertemuan kedua dua pemain ini memihak Chong Wei, namun skrip di Gold Coast menceritakan sebaliknya.

K Srikanth ternyata lebih bersedia untuk berdepan Chong Wei sekaligus menamatkan badi kekalahan selepas kali terakhir tewas di Piala Sudirman pada 2015.

Pemain ranking kedua dunia nyata mengejutkan ramai pihak apabila melakar kemenangan straight set 21-17, 21-14 dalam masa 43 minit untuk memberikan mata kedua buat India.

Lebih manis, pertemuan di Gold Coast merupakan kemenangan pertama K Srikanth.

Malaysia meraih satu mata untuk menghidupkan sisa perjuangan bagi memburu pingat emas menerusi pasangan bergu lelaki, Goh V Shem/Tan Wee Kiong.

Berdepan gandingan India Satwik Rankireddy/Chirag Shetty V Shem dan Wee Kiong ternyata beraksi di kelas tersendiri.

Pemenang pingat perak sukan Olimpik Rio 2016 ini tidak berdepan banyak tentangan sengit untuk meraih mata demi mata.

Goh V Shem/Tan Wee Kiong menutup perlawanan ketiga dengan kemenangan straight set 21-15, 22-20 untuk memberikan mata pertama untuk Malaysia  

Misi untuk Malaysia memburu kemenangan kedua menerusi perseorangan wanita tidak kesampaian sekaligus Malaysia terpaksa akur gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi empat tahun lalu di Glasgow, Scotland.

Sandaran dan tekanan terletak di bahu Sonia Cheah yang turun berdepan pemain ranking ke 12 dunia Saina Nehwal, memerlukan kemenangan untuk mengheret penentuan pemenang pingat emas diantara Malaysia dan India.

Pertemuan sulung di Terbuka Australia tahun lalu tampak menjadi panduan buat Saina untuk memburu kemenangan kedua.

Saina menang 21-11, namun Sonia lebih aggresif untuk bangkit sekaligus menang di set kedua 21-19 untuk mengheret permainan ke set penentuan.

Meskipun diasak dan ketinggalan pada satu ketika, Saina tetap tenang membaca gerakan Sonia untuk mencari peluang sekaligus mendahului saingan sebelum menutup set penentuan dengan kemenangan 21-9.

India sah merangkul pingat emas sekaligus mengecewakan juara bertahan dalam acara berpasukan campuran, Malaysia dengan kemenangan 3-2.

Malaysia tidak pernah tewas dalam acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel sejak 2006 di Melbourne, Australia . – OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -