Baru separuh musim berlalu, namun nampaknya sudah ada bayangan awal ke mana halatuju kejuaraan Liga Super musim ini.

Johor Darul Takzim kekal tidak ditekan – bukan sahaja JDT kekal konsisten dan terus selesa memimpin carta liga dengan kelebihan lapan mata, tetapi pencabar-pencabar terdekat mereka juga nampaknya sudah ‘pancit awal’ dan kehilangan momentum.

Kemenangan terbaru 2-0 ke atas Negeri Sembilan membolehkan mereka mengumpul 28 mata manakala Perak di tempat kedua dengan 20 mata, disusuli Pahang, Terengganu dan Kedah kesemuanya mengumpul 18 mata.

Walaupun masih ada 11 perlawanan lagi untuk diharungi, untuk mengharapkan JDT mencicirkan lebih dari lapan mata adalah sesuatu yang mustahil. Kalaupun mereka mengalami kemerosotan prestasi, adakah pasukan-pasukan di kelompok mengejar boleh memanfaatkan situasi itu?

Lihat sahaja bagaimana Perak dan Pahang gagal merapatkan jurang mata pada hari JDT diikat oleh Selangor 2-2 kira-kira dua minggu lalu, dan minggu ini kedua-dua pasukan mengalami kekalahan sekaligus memperlihatkan betapa pasukan harimau selatan itu pilihan hangat untuk mempertahankan kejuaraan buat musim kelima berturut-turut.

Begitupun pengendali JDT, Raul Longhi enggan mendabik dada terlalu awal. Longhi berpendapat belum tiba masanya memikirkan mengenai menjulang kejuaraan kerana perjalanan liga masih terlalu jauh dan cabaran yang lebih sengit menanti memandangkan hampir kesemua pasukan membuat penambahbaikkan di jendela perpindahan kedua.

“11 perlawanan berikutnya, kita akan jumpa balik pasukan sama tetapi dengan kekuatan berbeza, masing-masing sudah buat rombakan. Jadi, ianya silap jika mengambil mudah. Lapan mata memang satu jurang yang besar, tetapi itu bukan jurang yang selamat maka belum lagi masanya untuk berasa selesa,” kata Longhi.

Aksi seterusnya buat JDT selepas ini adalah menentang pasukan tangga keenam, PKNS FC kendalian Datuk K.Rajagobal di Stadium Shah Alam pada Ahad ini. Ketika kedua-dua pasukan bertemu di Larkin pada bulan lalu, JDT melakar kemenangan selesa 3-0. MUHD AIMAN

 

- Advertisement -