Setelah menunaikan janji kepada pihak pengurusan untuk membawa pasukan Felda United menjulang 100PLUS Liga Premier dan kembali ke Liga Super, B.Sathiananthan mensasarkan pula kecemerlangan dalam saingan Piala Malaysia yang bermula minggu depan.

Felda United sah bergelar juara Liga Premier walaupun masih ada dua perlawanan lagi untuk diharungi setelah menewaskan Sarawak 3-1 di Stadium Negeri, Kuching pada petang Selasa.

Sathiananthan yang cukup gembira dengan kejayaan itu berkata, “Secara keseluruhan ia adalah musim yang cukup mencabar apatah lagi bukan mudah untuk bermain sebagai pasukan pilihan, kita diberi tentangan sengit kerana semua pasukan mahu mengalahkan kita.

“Pemain-pemain kekalkan fokus dan konsisten, usaha, kerja keras dan komitmen mereka untuk berada di tahap ini wajar diberikan pujian. Selepas ini fokus kita adalah buat yang terbaik dalam Piala Malaysia pula, pemain-pemain kena jadikan kejayaan ini sebagai motivasi.

“Jika tahun lalu kita sangkut di separuh akhir, kita kena cuba untuk ulangi atau tampil lebih baik kali ini. Ia juga penting kerana dari situ baru saya boleh menilai sejauh mana kita bersedia untuk Liga Super musim depan,” kata bekas pengendali kebangsaan itu.

Dalam aksi menentang Sarawak, pasukan dengan jolokan the fighters itu mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Gilberto Fortunato pada minit kelima dan Thiago Augusto pada minit ke-40 sebelum Gilberto menambah satu lagi jaringan di separuh masa kedua.

Gol tunggal tuan rumah dijaringkan oleh Mateo Roskam. Kekalahan menyaksikan Sarawak bimbingan Andrew Gillan tergelincir ke tangga kesembilan dari 11 pasukan bertanding.

Felda yang mengumpul 41 mata dari 18 perlawanan selepas ini akan berdepan Polis Diraja Malaysia pada 23 Julai dan kemudiannya menutup tirai saingan dengan menentang Pulau Pinang pada 27 Julai. MUHD AIMAN 

- Advertisement -