Pemain muda meningkat naik, S.Sivasangari mencipta sensasi di gelanggang skuash Gelora Bung Karno apabila mengejutkan pemain nombor 11 dunia, Annie Au untuk melangkah ke separuh akhir acara perseorangan wanita Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Dalam aksi suku akhir berlangsung Jumaat, pemain berusia 19 tahun itu mengerah keringat lebih satu jam sebelum mengetepikan Annie yang juga pilihan kedua temasya dengan keputusan 3-2 sekaligus menjejak kelompok empat terbaik dalam penampilan sulungnya di pentas Sukan Asia.  

Kemenangan dilakar juara kebangsaan yang  berada di ranking ke-40 dunia itu juga menyaksikannya hanya selangkah sahaja lagi untuk menjadikan impian bertemu idolanya, Dato’ Nicol David dalam aksi final sebagai satu kenyataan.

Sivasangari bagaimanapun perlu terlebih dahulu mengetepikan pemain India, Joshna Chinnapa yang menanti di separuh akhir – Joshna mara setelah menewaskan seorang lagi pemain Hong Kong, Chan Ho Ling. 

Sementara itu, dalam aksi yang berlangsung lebih awal Nicol melangkah ke separuh akhir setelah mudah menewaskan pemain Jepun, Satomi Watanabe dengan keputusan 3-0 (11-6, 11-4, 11-3).

Ratu skuash negara itu menepati reputasinya selaku pilihan utama dan berada dalam landasan terbaik untuk mempertahankan pingat emas buat kali keempat berturut-turut sejak memenanginya pada edisi 2006.

Bekas pemain nombor satu dunia itu akan menentang pemain India, K. Dipika Palikkal yang merupakan pilihan ketiga di separuh akhir. Dipika mara dengan menyingkirkan Misaki Kobayashi dari Jepun.

Dalam aksi kategori lelaki pula, jaguh perseorangan Nafiizwan Adnan mara ke separuh akhir setelah menewaskan pemain Qatar, Al Tamimi Abdulla dengan keputusan 3-2  dan akan berdepan Lee Ho Yin dari Hong Kong untuk merebut tiket ke aksi final.

Jejak Nafiizwan bagaimanapun gagal dituruti seorang lagi pemain negara, Ivan Yuen yang kecundang 0-3 kepada pemain Hong Kong Au Chung Ming. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -