Harimau Malaya tidak pernah tewas kepada Kemboja sejak 48 tahun lalu, kali terakhir tewas pada 1970 mereka masih dikenali sebagai Republik Khmer.

Kemboja lazimnya menjadi pasukan yang ‘suka’ untuk Malaysia tentang kerana potensi untuk mendapat kemenangan sangatlah tinggi. Tetapi ketika kedua-dua pasukan bakal bertembung dalam aksi persahabatan antarabangsa di Phnom Penh pada Isnin, ada kebimbangan di kem Malaysia.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan Kemboja bukan lagi sebuah pasukan kerdil yang sebelum ini sentiasa menjadi pasukan belasahan dan mengakui betapa barisan pemainnya perlu menterjemahkan prestasi terbaik jika berhasrat mencatat kemenangan.

“Sudah tentu kita turun dengan mentaliti mahu menang, tetapi menentang Kemboja sentiasa menjadi satu perlawanan yang sukar lebih-lebih lagi di tempat mereka. Pasukan itu sedang menunjukkan peningkatan positif dan kehadiran Keisuke Honda sebagai jurulatih baru juga pastinya menjadi satu motivasi tambahan untuk mereka cuba mendapatkan satu keputusan yang baik.

“Malah kita tahu mereka ada ramai pemain yang bagus antaranya (Thierry) Chantha Bin, (Chan) Vathanaka dan pemain-pemain akan cuba berikan lebih dari 100 peratus untuk memikat jurulatih baru. Jadi saya jangka ia akan menjadi satu perlawanan yang sengit,” ujar Cheng Hoe pada sidang media pra-perlawanan.

Meskipun diakui Kemboja sebagai pasukan sedang meningkat naik, statistik menunjukkan bahawa pasukan itu tewas dalam 13 daripada 15 perlawanan antarabangsa terakhir termasuklah kepada Myanmar, Indonesia dan tiga kali kepada Vietnam.

Tahun ini mereka baru beraksi dua kali, menang 1-0 ke atas Laos dan tewas 1-2 kepada Afghanistan jadi ianya sedikit memalukan apabila dengan pasukan seperti Kemboja pun kita sudah mula bimbang.

Sementara itu, mengulas tentang persiapan Malaysia, Cheng Hoe berkata, “Saya mempunyai tempoh lebih kurang dua hari latihan selepas kekalahan kepada Taiwan (pada Jumaat). Saya berharap pemain melapangkan semula fikiran, bebas kecederaan, dan menunjukkan tahap sebenar permainan mereka.

“Saya juga akan membuat penggiliran pemain kerana sebagai jurulatih saya perlu berlaku adil dengan memberi peluang kepada semua pemain membuktikan sesuatu. Saya berharap pemain-pemain menggunakan ianya sebaik mungkin,” kata Cheng Hoe.

Sebagai rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di peringkat senior adalah dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2016 yang mana Malaysia bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-2 menerusi jaringan lewat permainan Amri Yahyah. MUHD AIMAN 

- Advertisement -