FAS nafi dakwaan kelab-kelab gabungan

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2018/10/fas-nafi-dakwaan-kelab-kelab-gabungan">
Twitter
Pinterest

 

 

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada Selasa tampil menafikan dakwaan oleh kelab-kelab gabungannya bahawa pelantikan dua naib presiden Mohd Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal Hamidon dibuat tanpa mengikut perlembagaan yang sah dan menganggap tuduhan itu tidak berasas.

Sports 247 difahamkan dua minggu lalu kira-kira 67 daripada 96 kelab-kelab gabungan telah menghantar memorandum kepada FAS untuk meminta persatuan itu mengadakan satu Kongres Luar Biasa kerana menurut mereka Izhar dan Johan Kamal bukan ahli di dalam kelab gabungan justeru pelantikan mereka adalah tidak sah.

Dalam satu kenyataan media oleh Presiden Kelab Bolasepak Frenz United, Roslin Shariff menuntut supaya EGM dibuat untuk merombak barisan exco sedia ada dan pelantikan semula exco-exco yang akan dapat memantapkan pengurusan FAS dibuat secara sah mengikut perlembagaan.

Malah kenyataan itu turut memberitahu bahawa peranan dan kepentingan kelab gabungan juga turut diabaikan oleh dua individu yang dilantik sendiri oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj itu.

Dalam masa sama Roslin turut mendedahkan seramai 55 individu daripada wakil ahli gabungan telah dipecat dari mengetuai/menganggotai jawatankuasa-jawatankuasa tetap di dalam FAS dan individu luar dari kelab gabungan dilantik berada di dalam jawatankuasa tersebut.

Bagaimanapun FAS dalam satu kenyataan balas mempertahankan Izhar dan Johan Kamal sebagai ahli di dalam kelab gabungan yang berdaftar secara sah dengan mereka dan menyatakan mempunyai bukti kukuh untuk menyokong pelantikan mereka berdua tidak melanggar perlembagaan.

Timbalan Presiden FAS, Dato’ Seri Shahril Mokhtar menyatakan bahawa kenyataan media oleh Roslin itu itu bertujuan mahu memecahbelahkan dan menjejaskan kestabilan FAS.

Beliau juga menekankan bahawa satu siasatan akan dibuat bagi mengenalpasti dalang-dalang di dalam FAS yang cuba menentang usaha ke arah transformasi yang sedang rancak dilaksanakan.

Sebagai rekod, Izhar dan Johan Kamal dilantik sebagai naib presiden baru FAS menggantikan Datuk Lim Thean Seang dan Nizam Sani yang meletakkan jawatan mereka pada bulan Julai lalu.

Please follow and like us:
0