SOJC 2018: Malaysia kalah lagi

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2018/10/sojc-2018-malaysia-kalah-lagi">
Twitter
Pinterest


 

Pintu buat Malaysia untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik pada kempen Piala Sultan Johor kini sudah tertutup.

Ini susulan kekalahan ketiga yang dialami skuad bimbingan Nur Saiful Zaini selepas tewas 1-5 di tangan Great Britain di Stadium Hoki Taman Daya, hari ini.

Dalam tiga perlawanan awal, Malaysia tunduk di tangan India (1-2) dan Australia (1-6) sebelum sekadar seri 5-5 dengan New Zealand.

Situasi itu menyaksikan anak buah Nur Saiful yang akan menentang Jepun pada aksi terakhir pusingan awal, Jumaat ini bakal beraksi di penentuan tempat kelima dan keenam pada Sabtu ini.

Kekalahan ketiga itu jelas memberi tamparan buat Nur Saiful yang selepas tamat perlawanan enggan menghadiri sesi sidang media.

Bagi Britain, kemenangan ke atas Malaysia menyaksikan mereka kembali menghidupkan peluang untuk mara ke final dengan kini mengumpul tujuh mata hasil dua menang dan satu seri.

Bagaimanapun, mereka perlu menang ke atas India dalam aksi terakhir Jumaat ini selain bergantung harap terhadap keputusan membabitkan Jepun yang menjadi pencabar utama bagi memburu tempat ke final.

“Saya gembira dengan prestasi pemain. Biarpun Malaysia memberi tekanan tetapi pemain saya tetap kekal fokus dan berjaya mengekalkan momentum.

“Kami akan bertemu India untuk aksi terakhir, kami tahu mereka pasukan yang kuat tetapi kami tidak gentar. Kami pernah menang ke atas mereka sebelum ini dan kami percaya kami boleh lakukannya lagi,” kata jurulatih Britain, Jon Bleby.

India sudah mengesahkan slot selepas melakar kemenangan keempat berturut-turut dengan mewaskan Australia 5-4, hari ini.

Terdahulu, Britain membuka tirai jaringan menerusi gol padang Daniel West minit keenam sebelum Malaysia menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Ishak yang menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-11.

Britain bagaimanapun terus garang apabila menambah empat lagi gol menerusi gol padang James Oates minit ke-13, Duncan Scott yang menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-26 dan gol padang Thomas Russell minit ke-39 serta Cameron Golden minit ke-45.

Please follow and like us:
0