Penyerang negara, Safawi Rasid tidak mahu terus dilanda kekecewaan apabila terus gagal menjaringkan gol untuk Malaysia sepanjang saingan Piala AFF.

Kelibat pemain Johor Darul Takzim ini seringkali menjadi tumpuan menerusi percubaan menarik ketika dua aksi terdahulu, namun tiang terus menghampakannya.

“Satu atau dua perlawanan yang lalu belum memuaskan lagi. Di Vietnam, jika diberi peluang untuk bermain saya akan buktikan kepada penyokong dan saya akan buat yang terbaik,”kata Safawi Rasid

Seperti kata Tan Cheng Hoe, Safawi juga mahu rakan rakan yang akan diturunkan kelak bersiap sedia sepenuhnya malah menjangkakan perlawanan yang sukar di Stadium Kebangsaan My Dinh.

“Semua orang tahu ada dua atau tiga orang pemain lawan yang bagus. Jadi kita tidak boleh ambil mudah dan perlu fokus dari segi mental dan fizikal kerana esok (hari ini) saya rasa saingan agak sengit dan perlawanan yang dinanti nantikan .

Kita akan cuba sedaya upaya untuk membawa pulang mata yang berharga,”katanya lagi.

Sementara itu, pemain tengah, Mohamed Syamer Kutty Abba tidak merasakan Harimau Malaya perlu ‘menghormati’ pihak lawan.

Semua sedia maklum akan kemampuan dan kekuatan yang ada pada Vietnam, tetapi Syamer juga mengingatkan Malaysia punya kekuatan tersendiri.

“Vietnam memang sebuah pasukan yang baik dari segi taktikal mereka, kita pun ada pasukan yang baik dan saya rasa kita boleh bersaing dengan mereka dan jurulatih (Tan Cheng Hoe ) tahu apa taktikal yang perlu dibuat,”kata Syamer.

 

- Advertisement -