foto – Belakang Gol

 

Setelah berjaya merekrut ramai pemain tempatan berkualiti antaranya Wan Zack Haikal Wan Noor, Faiz Nasir, Syazwan Zainon, Nurridzuan Abu Hassan dan Halim Shaari, Selangor mengalihkan pula fokus kepada melengkapkan kuota pemain import.

Skuad Red Giants bimbingan B.Sathianathan itu dilaporkan bakal membawa masuk pemain import dari Brazil, Endrick Dos Santos Parafita yang juga bekas pemain tengah Felcra FC.

Pemain berusia 23 tahun itu antara tonggak utama membantu Felcra FC muncul naib juara Liga Premier musim ini seterusnya layak ke Liga Super musim depan.

Namun dengan pasukan itu sudah membuat keputusan menarik diri daripada saingan kerana masalah kewangan, ramai pemain mereka menjadi buruan sama ada pasukan Liga Super mahupun Liga Premier dan Dos Santos merupakan salah seorang daripadanya.

Sathianathan sendiri mengakui jika Red Giants berjaya mendapatkan pemain itu yang ketika ini dalam perbincangan dengan pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor, ia akan menjadikan sentuhan barisan depannya serba lengkap.

“Bagi saya seorang pemain import perlulah jauh lebih baik daripada pemain tempatan, tidak boleh tangkap muat. Jadi daripada penilaian saya, Dos Santos ada ciri-ciri tersebut. Dia cukup bagus dan berkualiti tetapi kita tetap tidak boleh terburu-buru, akan menguji dia dan kemudian baru tandatanganinya,” ujar Sathiananthan.

Sebagai rekod, Red Giants mempunyai empat kekosongan bagi kuota pemain import termasuk slot ASEAN setelah membuat keputusan mengekalkan hanya seorang import iaitu penjaring terbanyak Liga Super 2018, Rufino Segovia.

Manakala empat pemain lain William Pacheco, Alfonso De Cruz, Ilham Udin Armayn dan Evan Dimas kesemuanya tidak dilanjutkan kontrak.

Sathianathan bagaimanapun telah memberitahu sebelum ini bahawa Red Giants berkemungkinan besar tidak akan mendapatkan pemain untuk mengisi slot ASEAN justeru memberi bayangan mereka hanya akan membariskan empat import.

Selangor yang menamatkan musim 2018 di tangga kelapan Liga Super dan muncul naib juara Piala FA dijadual terbang ke Bangkok pada Januari depan untuk jelajah pra-musim mereka dan mengadakan tiga perlawanan persahabatan di sana. MUHD AIMAN 

- Advertisement -