UniKL tumpaskan TNB Thunderbolt

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/02/unikl-tumpaskan-tnb-thunderbolt">
Twitter
Pinterest

 

 

Juara baharu Liga Perdana Hoki Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menoktahkan kempen 2019 dengan penuh bergaya apabila membenam cabaran TNB Thunderbolts 2-0 dalam aksi di Stadium Tengku Abdullah, hari ini.

Kemenangan itu membolehkan skuad Arul Selvaraj mengekalkan rekod bersih sepanjang kempen ini selepas tidak pernah tewas dalam semua 12 perlawanan.

Ia secara tak langsung meletakkan mereka sebaris Terengganu Hockey Team (THT) dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), selepas kedua-dua pasukan itu juga muncul juara edisi 2018 dan 2017 tanpa mencatat sebarang kekalahan.

“Ia adalah perlawanan biasa namun saya memilih untuk merehatkan beberapa pemain import. Secara keseluruhannya saya gembira dengan persembahan pasukan,” kata pengendali UniKL, Arul.

“Kami menggunakan perlawanan ini untuk mempersiapkan pasukan menghadapi aksi separuh akhir Piala TNB dalam usaha meningkatkan taktikal pasukan.”

Selepas ini, UniKL akan kembali menyambung pemburuan mendakap Piala TNB apabila dijadualkan bertemu pasukan tangga keempat liga Maybank, Selasa ini.

Turun dalam aksi terakhir di Stadium Tengku Abdullah bagi musim ini, UniKL yang menurunkan barisan keduanya dengan merehatkan bintang import Belanda, Robbert Kemperman dan Valentin Verga serta penjaga gol Ireland David Harte tidak menghadapi masalah membuka akaun jaringan seawal minit keenam.

Gol tersebut hadir selepas pertahanan Razie Abd Rahim menyempurnakan penalti strok yang dihadiahkan susulan percubaan pukulan sudut penaltinya yang sepatutnya menghasilkan gol dinafikan akibat bola terkena kaki lawan.

Thunderbolts dibawah kendalian Nor Azlan Bakar cuba bangkit selepas itu, namun faktor jentera serangan muda pasukan itu yang gopoh menyebabkan kerja pertahanan UniKL menjadi mudah.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga menuju rehat separuh masa.

UniKL yang membelasah lawan yang sama 4-1 dalam aksi pusingan pertama liga akhirnya sekali lagi menggegar gawang Thunderbolts dikawal Hamiz Mohd Ahir menerusi percubaan padang Ashran Hamsani pada minit ke-48.

Bagi Thunderbolts, kekalahan itu menyaksikan mereka mengakhiri saingan liga di kedudukan kelima selepas terikat tujuh mata bersama Nur Insafi, namun dipisahkan berdasarkan kelebihan gol ke atas pasukan dari utara tanah air itu.

Di Stadium Tun Razak, Jalan Duta, THT membawa tonik terbaik menjelang aksi separuh akhir Piala TNB, Selasa ini apabila menumbangkan TNB 5-3 lawan sama yang akan ditemui nanti.

Please follow and like us:
0