20151202-Petaling Jaya BC-Koo Kien Kiat & Songphong Anugritayawon(red)

20151202-Petaling Jaya BC-Andre Marteen-001

Hasrat Kajang BC untuk bangkit mengubah nasib mereka dalam saingan Purple League minggu ini ranap di tangan Petaling Jaya BC yang tidak langsung menunjukkan belas apabila beraksi garang untuk mencatat kemenangan 15-0.

Pada aksi yang berlangsung di Sports Arena@ Sentosa, Kajang yang menghuni tangga tercorot kumpulan selepas empat kekalahan sebelum ini sedar mereka berdepan cabaran sukar untuk mencatat kemenangan sulung dan jangkaan itu ternyata tepat apabila Petaling Jaya dilihat terlalu kuat untuk disaingi meskipun turun tanpa kelibat jaguh badminton dunia, Dato’ Lee Chong Wei.

Hafiz Hashim memulakan hari cemerlang buat Petaling Jaya dengan smash padu dan penguasaan gelanggang yang baik untuk mencatat kemenangan 3-0 (11-7, 11-7, 11-4) ke atas pemain muda, Muhammad Iqram sebelum perseorangan wanita, Cheung Ngan Yi menggandakan kelebihan buat Petaling Jaya apabila turut menang mudah 3-0 (11-7, 11-2, 11-5) ke atas Lim Pei Zhean.

Hafiz yang bergelut dengan prestasi dan tewas tiga daripada empat perlawanan sejak bermulanya Purple League musim kedua berkata dia perlukan masa untuk kembalikan keyakinan dan konsistensi untuk terus berada pada prestasi terbaik seperti hari ini. 

“Mungkin sebab lawan pada hari ini adalah pemain muda dan kurang pengalaman, jadi tidak ada masalah besar buat saya untuk lakukan smash kencang dan memerangkap lawan. Saya bergelut selepas alami tiga kekalahan sebelum ini jadi saya harap kemenangan ini bantu saya dapatkan balik keyakinan.

“Saya akui untuk bersaing dalam sistem kiraan 11 mata ini, adalah penting untuk saya perbaiki tahap kecergasan dan kekal konsisten agar dapat sentiasa berikan yang terbaik,” jelas bekas juara All England 2003 ini.  

Bodin Isara/Prajaktha Sawanth melebarkan kelebihan Petaling Jaya kepada 9-0 menerusi kemenangan dalam acara beregu campuran diikuti kemenangan Koo Kien Keat/Sonphong Anugritayawon dalam acara beregu lelaki yang menjadikan kedudukan 12-0.

Andre Marteen mengambil masa 15 minit untuk melengkapkan kemenangan 15-0 buat Petaling Jaya selepas menewaskan Loh Ze Feng 11-4, 11-3, 11-3.

Tatkala kekalahan menyaksikan Kajang terus terperosok di tangga terbawah dengan defisit 55 perlawanan, Petaling Jaya pula merakamkan kemenangan ketiga berturut-turut untuk melonjak ke tangga kedua, di belakang Muar City setidak-tidaknya untuk sementara waktu.

- Advertisement -