rioOleh Muhammad Aiman

“Jika Nauraj (Singh) boleh lakukan, saya pun boleh,” demikian keyakinan disuarakan atlet lompat tinggi yang juga bekas pemegang rekod kebangsaan Lee Hup Wei yang kembali dalam aksi bagi memburu tiket olimpik ketiga peribadinya di Kazakhstan hujung minggu ini.

Hup Wei yang memegang rekod kebangsaan selama lapan tahun sebelum rekod itu diperbaharui Nauraj pada April lalu, lebih banyak menghabiskan masa merawat kecederaan sejak beberapa tahun lalu sehingga terpaksa melupakan beberapa kejohanan besar seperti Sukan Sea Myanmar 2013 dan Singapura 2015, serta Sukan Komanwel Glasgow 2014.

Namun, atlet berusia 29 tahun itu mengetepikan saat-saat sukar dan bangkit untuk kembali berada pada prestasi terbaiknya musim ini ketika memenangi pingat emas di Kejohanan Olahraga Terbuka Filipina pada April lalu, menerusi lompatan 2.22m – menyamai catatan terbaik peribadinya.

Hup Wei perlu memanfaatkan dua lagi peluang yang berbaki untuk menghidupkan impian beraksi di Rio De Janeiro Ogos depan, bermula dengan penyertaan di Kejohanan Memorial Kosanov XXVI di Almaty, Kazakhstan (25-27 Jun) dan kemudiannya Terbuka Thailand (4-7 Julai) sebelum tarikh akhir penyertaan pada 11 Julai.  

Begitupun, di sebalik keyakinan tinggi serta peningkatan positif yang ditunjukkan sejak berlatih di bawah bimbingan jurulatih baru Aleksandr Gasparyan bermula Februari lalu, Hup Wei pastinya sedar dia berdepan tugas sukar kerana untuk layak ke Rio, dia perlu melepasi had kelayakan minima 2.29m.

Andai berjaya, Hup Wei akan menjadi atlet lompat tinggi kedua negara, mengiringi Nauraj Singh Randhawa mengibar cabaran di temasya sukan terbesar dunia itu.   

Nauraj adalah antara 26 atlet yang sudahpun mengesahkan tiket beraksi di Rio setelah memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan 2.29m dalam laluan untuk merangkul pingat emas Terbuka Singapura pada April lalu.

Di Almaty hujung minggu ini, turut turun beraksi selain Hup Wei adalah 16 lagi atlet olahraga iaitu Jonathan Nyepa, Haiqal Hanafi, Asnawi Hashim (100m), Azam Masri (400m), Putra Azrul Syazwan, Asif Rahman (800m), Rayzam Shah Sofian (110m lari berpagar) dan Hakimi Ismail (lompat jauh) bagi kategori lelaki.

Manakala cabaran dalam kategori wanita akan digalas Siti Fatima Mohd, S.Komalam, Zaidatul Husniah, Nur Eewan Shafiqah, (100m, 4x100m), Nurul Faizah Asma Mazlan (400m, 4x100m), Savinder Kaur (800m), Yap Jeng Tzan (lempar cakera) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi). 

- Advertisement -