velodrome-rakyat
Velodrom Rakyat

Oleh Ku Mohd Lufti

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengumumkan pertukaran venue untuk Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC 2018) bagi acara trek daripada Velodrom Rakyat di Ipoh, Perak kepada Velodrom Kebangsaan di Nilai, Negeri Sembilan.

Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab menjelaskan keputusan tersebut diperdebat dan diperincikan secara teliti dalam mesyuarat Exco badan induk berkenaan yang diadakan di Melaka Sabtu lalu.

“Kita jadikan agenda pemilihan venue bagi ACC 2018 sebagai satu keutamaan mesyuarat tersebut. Kita minta Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Perak (PCA), Datuk Amarjit Singh untuk kemukakan hujah beliau.

“Fakta ini berdasarkan hakikat bahawa Velodrom Rakyat sudah berpuluh tahun tidak menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa. Jadi alangkah bagus kalau ia kembali ke arena antarabangsa selepas menjalani proses pembaikan semula.

“Namun ada Ahli Exco berpandangan bahawa lebih baik sekiranya Velodrom Nilai menjadi venue ACC 2018 sesuai dengan statusnya sebagai sebuah velodrom tertutup bertaraf dunia. Kita akan mendapat publisiti secara automatik.”Kata DatukAbu Samah.

Datuk Abu Samah mengharapkan peluang ini dimanfaatkan pelumba trek negara untuk mencapai keputusan yang baik.

“Saya yakin mereka akan gunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri untuk capai kejayaan raih pingat emas. Saya juga berharap agar semua pihak dapat berikan sokongan padu,” katanya lagi.

 

- Advertisement -