Pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing membuat percaturan baharu apabila meletakkan pelumba berpengalaman, Mohd Amirul Ariff Musa ke dalam barisan pelumba CP150 bermula pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Jasin, Melaka pada 21 dan 22 Julai ini.

Amirul akan menggantikan pelumba muda, Mohd Aiman Azman manakala Aiman akan beraksi dalam kelas CP115.

Pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata pengalaman Amirul diperlukan untuk membantu dua lagi pelumbanya, Azroy Hakeem Anuar dan Mohd Harith Farhan Baharin untuk berhadapan barisan pelumba senior di dalam saingan kelas perdana.

“Pasukan kami membariskan kesemua pelumba berusia belasan tahun di dalam kelas CP150. Walaupun mereka menunjukkan prestasi yang agak baik terutamanya Azroy, namun jelas perbezaan pengalaman menjadi penghalang utama mereka. Sebab itulah saya meletakkan Amirul di dalam kelas ini,” jelas Yuzy.

“Tentang Aiman pula, saya yakin selepas berhadapan dengan pelumba-pelumba handalan CP150 sepanjang dua pusingan lepas, tidak ada masalah baginya untuk beraksi dalam kelas CP115.”

BUKAN MASA UNTUK BEREHAT – FUAD

Pengurus pasukan SIC Junior Team AFB Tech Racing, Ahmad Fuad Baharudin menegaskan pasukannya perlu terus bekerja keras sekalipun pelumba utamanya, Mohd Danial Syahmi sudah memenangi dua perlumbaan berturut-turut kelas WIRA KBS Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018.

Menjelang perlumbaan pusingan ketiga di Jasin, Melaka, hujung minggu ini, Ahmad Fuad berkata seluruh pasukan terutama pelumbanya telah diingatkan untuk terus memberikan 100 peratus komitmen mereka dalam setiap pusingan perlumbaan.

“Saingan musim 2018 baharu saja bermula. Masih ada baki lapan pusingan sebelum musim tamat. Dua kemenangan berturut-turut bukan tiket buat pasukan dan pelumba terutamanya Danial untuk berasa selesa,” jelas juara tiga kali kelas perdana Kejuaraan Cub Prix itu.

Tambahnya, “Begitu juga dengan jurutera pasukan. Saya tidak mahu mereka melakukan sebarang kesilapan mudah yang boleh menjejaskan aksi pelumba di litar. Jika pelumba sudah memberi yang terbaik tetapi jentera pula mengalami masalah mekanikal, sudah tentu ia sangat mengecewakan,” jelasnya.

- Advertisement -