Pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi dan Azlan Shah Kamaruzaman pasti mencuri tumpuan apabila berlangsungnya Perlumbaan 1 kelas ASB1000 pada Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa (SIC) esok.

Zaqhwan yang menggalas cabaran pasukan Honda Asia Dream Racing With SHOWA dan Azlan (ONEXOX TKKR SAG Team) pernah melakar detik cemerlang di Sepang selepas masing-masingnya muncul juara pada aksi Pusingan 1, Mac lalu.

Ketika itu, Azlan menjuarai Perlumbaan 1 manakala Zaqhwan melakukannya pada Perlumbaan 2. Dua jaguh negara itu seakan-akan memberi bayangan bahawa pencapaian tersebut bakal berulang selepas konsisten berada dalam kedudukan tiga teratas pada sesi latihan bebas hari ini.

Pada sesi hari ini, Azlan membuka saingan dengan catatan masa terpantas pada latihan bebas pertama dengan masa 2:07.492 saat (s) manakala Zaqhwan berada di tempat ketiga dengan catatan masa 2:07.889s.

Pencabar mereka, yang juga pendahulu keseluruhan kelas ASB1000 ketika ini, Broc Parkes (Yamaha Racing Team ASEAN) di tempat kedua terpantas dengan masa 2:07.652.

Pada sesi latihan bebas kedua, tiga pelumba ini terus mengekalkan posisi masing-masing dengan Azlan sekali lagi muncul terpantas dengan masa 2:06.902s.

Sesi ketiga pula menyaksikan Zaqhwan mencatat masa terpantas sepusingan iaitu 2:06.502s. Jika mereka mampu mengekalkan kecemerlangan tersebut, ia bukan perkara mustahil buat Azlan dan Zaqhwan untuk menawan Sepang minggu ini.

Zaqhwan yang menjuarai Perlumbaan 1 di Zhuhai bulan lalu, mengakui sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi cabaran di Sepang minggu ini.

Pelumba asal Selangor itu menjelaskan, tahap kecergasannya juga berada dalam keadaan terbaik dan akan bekerja keras untuk menghadiahkan kejayaan kepada pemnat tempatan.

ā€œBuat masa ini, persiapan dari segi mental dan fizikal adalah baik. Keupayaan jentera juga stabil.

ā€œSasaran saya hanya satu iaitu untuk menampilkan yang terbaik bagi memburu kemenangan,ā€ jelas Zaqhwan yang kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 153 mata, ketinggalan 35 mata di belakang pendahulu, Broc Parkes.

Azlan pula menghuni tangga ketiga dengan 143 mata. Dalam perkembangan lain, sesi latihan bebas bagi kelas SS600 hari ini dikuasai pelumba pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia, Kasma Daniel Kasmayudin.

Kasma yang kini menghuni tangga kedua keseluruhan dengan 143 mata, muncul pelumba terpantas sepusingan dalam ketiga-tiga sesi latihan bebas walaupun terjatuh pada sesi ketiga.

Pada sesi pertama dia melakukan catatan masa 2:10.584s diikuti 2:10.113s (sesi kedua) dan 2:10.223s pada sesi ketiga. Azroy Hakeem Anuar (Musashi Boon Siew Honda Racing Team) turut tampil cemerlang pada sesi hari ini yang menyaksikannya muncul kedua terpantas pada sesi pertama dan ketiga.

Pelumba ONEXOX TKKR SAG Team, Md Ramdan Rosli turut mencatat nama dalam kelompok terpantas selepas muncul naib juara pada sesi latihan kedua denghan masa 2:11.203s.

Saingan pada Pusingan 6 di Sepang ini bakal menjadi medan untuk menentukan juara keseluruhan bagi kelas SS600 kerana pelumba Thailand, Peerapong Boonlert dilihat selesa mendahului dengan 223 mata.

Jika dia kekal berada dalam kelompok tiga teratas, gelatan tersebut bakal berada dalam genggamannya.

- Advertisement -