Oleh Muhammad Aiman
Perenang muda berusia 18 tahun, Wong Fu Kang meniti laluan berliku dalam usahanya mempertahankan pingat emas acara 100m kuak dada di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.
Tiga bulan menjelang berlangsungnya temasya dwitahunan itu, Fu Kang mendapati masih banyak lagi perlu ditingkatkannya, lebih-lebih lagi setelah gagal mempertahankan pingat emas 100m kuak dada di Kejohanan Renang Terbuka Malaysia yang sedang berlangsung di Melaka.
Fu Kang tewas kepada perenang senior Thailand, Radomyos Matjiur yang berusia 10 tahun lebih tua daripadanya setelah sekadar merekodkan catatan masa 1.03:90s untuk berpuas hati dengan pingat perak.
Radomyos menang emas dengan catatan masa 1.03:40s sekaligus membuktikan betapa dia juga berada di landasan terbaik untuk merampas semula pingat emas Sukan Sea yang dimenanginya di Myanmar 2013, sekaligus meranapkan hasrat Fu Kang menyerlah dan mencipta gemilang di depan penyokong sendiri.
Catatan masa Fu Kang , perenang yang mewakili Johor itu nyata jauh dari rekod kebangsaan miliknya sendiri, 1.02:46s yang direkodkannya ketika memenangi emas dalam penampilan sulung Sukan Sea di Singapura pada 2015.
Fu Kang bagaimanapun enggan terlalu kecewa dan berpendapat dia akan dapat bangkit tepat pada waktunya, “Terbuka Malaysia ibarat platform persediaan dan latihan buat saya, memang pencabar-pencabar saya sedang dalam prestasi baik tetapi masih ada tiga bulan untuk Sukan Sea dan masih banyak boleh diperbetul.
“Saya belum berada di prestasi yang sepatutnya dan saya mahu memuncak tepat pada waktunya untuk memastikan emas dapat digenggam di arena sendiri, di hadapan jutaan penyokong tempatan,” kata Fu Kang yang memenangi final kategori A bagi peringkat umur 15 tahun ke atas di Kejohanan Renang Peringkat Umur Kebangsaan Singapura pada Mac lalu.
Dalam pada itu, perenang olimpik, Welson Sim yang mewakili Sarawak memenangi acara 400m gaya bebas lelaki dengan catatan masa 3.55:34s mengatasi rakan sepasukan di kem kebangsaan, Yeap Zheng Yean.
Manakala seorang lagi perenang Malaysia, Tern Jian Han yang mewakili Johor pula memenangi emas acara 50m kuak lentang mengatasi Khasipat Chogratin (Thailand) dan Jordan Yip (Singapura).