Exco Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Arriffin Ab Hamid sepertimana dilaporkan media tempatan telah menyatakan secara terbuka bahawa mereka menyokong penuh cadangan supaya Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Amin dipilih sebagai Presiden baru badan induk itu.

Ia bukanlah mengejutkan kerana Hamidin adalah bekas Setiausaha Agung FAS yang telah berkhidmat selama 15 tahun dengan persatuan itu dan masih mempunyai hubungan baik dengan exco-exco dan pengurusan FAS.

Jasanya memang dianggap terlalu besar kepada Red Giants jadi itu sudah tentunya faktor utama FAS merasakan beliau individu paling layak menerajui FAM dan sedia mencalonkan Hamidin sebagai presiden di Kongres Tahunan FAM pada Julai nanti.

Apapun, yang menimbulkan persoalan adalah, Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal merupakan orang nombor satu di FAM selepas Tunku Ismail Sultan Ibrahim melepaskan jawatan (mengikut hirarki).

Jika apa yang dinyatakan Arriffin adalah keputusan sebulat suara mewakili FAS, bukankah ia sepatutnya dinyatakan oleh Subahan sendiri, atau setidak-tidaknya melalui Setiausaha Agung FAS ketika ini, Rosman Ibrahim.

Atau Subahan sendiri tidak berminat dengan jawatan itu? Ianya mustahil kerana jika tidak berminat kenapa perlu menjadi Timbalan Presiden, lebih baik lepaskan sahaja jawatan kepada mereka yang mempunyai minat dan keghairahan terhadap bolasepak.

Sebagai makluman, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor pada 25 Mac lalu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden FAM genap setahun memegang jawatan itu kerana mahu meletakkan fokus penuh kepada tanggungjawabnya sebagai Pengerusi Malaysia Football League (MFL).

Sebaik melepaskan jawatan, baginda mencadangkan Timbalan Presiden II, Datuk Wira Yusoff Mahadi untuk memangku tugas sebagai presiden sementara menanti pemilihan baru manakala Hamidin pula dicadangkannya sebagai individu yang paling layak dipilih sebagai presiden baru.

Jika Hamidin dipilih oleh ahli gabungan untuk menjadi presiden FAM, dia akan menjadi individu pertama yang bukan datang dari latar belakang ahli politik, orang kenamaan atau kerabat diraja untuk menerajui badan induk bolasepak Malaysia.

Sebelum ini, jawatan presiden telah disandang oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri Pertama), Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Kedua), Tan Sri Hamzah Abu Samah (Menteri Perdagangan dan Industri), Sultan Haji Ahmad Shah dan puteranya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.  – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -