Dua pasukan yang menjadi tumpuan di pusingan kelayakan Liga Futsal Kebangsaan 2018, Marcerra United dan Kuantan Rangers akan berdepan sesama sendiri apabila kedua-dua pasukan itu dipertemukan dalam aksi suku akhir yang dijadual berlangsung pada Ahad.

Marcerra United yang diperkuatkan beberapa bekas pemain kebangsaan mengesahkan tempat mereka di kelompok lapan terbaik pada Sabtu setelah bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk mencatat keputusan seri 3-3 menentang Pahang Poly FC. 

Keputusan itu membolehkan mereka muncul juara Kumpulan A dengan empat mata, manakala Kuantan Rangers pula sudahpun lebih awal mara ke suku akhir pada Jumaat selaku juara Kumpulan B hasil kemenangan kedua dengan menewaskan Pahang Mustang IIUM 3-1.

“Selepas melihat jadual undian tempoh hari, memang kita sudah jangka Marcerra akan mengungguli Kumpulan A. Rata-rata pemain mereka berpengalaman luas, pernah bermain dalam LFK sebelum ini, tiga tahun lepas bersama Felda. Jadi ini adalah satu kelebihan buat mereka, mempunyai persefahaman yang tinggi.

“Lihat masa menentang Poly FC mereka bersikap positif dan menunjukkan satu kesungguhan yang tinggi untuk bangkit selepas ketinggalan dua gol, ini membuktikan mereka tidak boleh dipandang mudah. Walaupun kami telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dengan memenangi dua aksi kumpulan, itu bukan alasan untuk mendabik dada.

“Saya juga mengingatkan mereka supaya jangan fikir pasal separuh akhir atau final, sebaliknya perlu fokus perlawanan ini sepenuhnya, manfaatkan setiap peluang. Saya telah beritahu pemain apa aspek-aspek yang perlu diperbaiki dan saya percaya mereka tidak akan melakukan kesilapan mudah,” ujar Faizul yang pernah menyarung jersi kebangsaan.

Untuk aksi suku akhir, Kuantan Rangers yang juga juara Liga Futsal Brunei akan kembali mendapat khidmat pemain kebangsaan, Yazid Kamaruzuan yang tidak dapat diturunkan dalam perlawanan peringkat kumpulan kerana terbabit dengan tugasan bersama skuad kebangsaan di Lubnan.

Seorang lagi tonggak pasukan kebangsaan Akmarulnizam Idris pula tidak bersama skuad ke Lubnan kerana menanti kelahiran anak pertama dan dia sekali lagi dijangka menjadi sandaran utama memburu jaringan selepas cemerlang menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -