Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menghantar surat bantahan kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung tindakan melampau penyokong tuan rumah, Indonesia menghina nama negara Malaysia dengan laungan ayat “Malaysia itu anjing” ketika perlawanan sulung skuad B-16 kebangsaan kendalian Raja Azlan Shah Raja So’ib untuk Kejuaraan B-16 AFF 2018 bertemu Thailand di Surabaya, Indonesia, malam tadi.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menerusi kenyataan media, sependapat dengan mantan Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menerusi laman sosial Johor Saouthern Tigers (JST) berhubung tindakan penyokong Indonesia yang dianggap sebagai melampau malah, satu penghinaan besar terhadap Malaysia.

“Justeru tindakan menghantar surat bantahan kepada AFF dan AFC ini kita lakukan dengan segera supaya dua pihak berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya agar perkara sama tidak berulang apabila skuad B-16 turun pada perlawanan kedua Kumpulan B di stadium sama bertemu Brunei, Jumaat ini.

“Bagi memastikan kawalan keselamatan terhadap skuad B-16 kebangsaan lebih terjamin, FAM juga telah bertindak untuk menghantar Exco FAM, ACP Md Dali Wahid yang merupakan seorang pegawai tinggi PDRM ke Surabaya, esok (hari ini) bagi membuat penilaian terhadap langkah-langkah keselamatan yang dilakukan oleh pihak tuan rumah dan penganjur,”kata Stuart.

Tambah Stuart FAM akan mengambil tindakan yang lebih drastik andai tuan rumah dan penganjur sekadar mengambil ringan berhubung isu ini.

Untuk rekod, ketika Sukan SEA 2017, Malaysia telah didenda AFC sebanyak AS$30,000 (RM121,702) kerana tindakan penyokong kita menyanyikan chant menghina Brunei dan Singapura ketika perlawanan acara bola sepak lelaki.

Justeru, FAM mengharapkan pihak AFF dan AFC akan bertegas dalam hal inidan mengenakan tindakan dan denda sewajarnya terhadap penyokong Indonesia.

- Advertisement -