Cuaca buruk ditambah dengan green yang lembap akibat hujan nyata mengganggu rentak 76 pemain di hari kedua Kejohanan Golf Sime Darby LPGA di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara hari ini.
Hari kedua menyaksikan pemain kelahiran China ini menutup saingan dengan catatan 65 pukulan 6 dibawah par.
“Saya tenang sepanjang hari dan tidur seketika ketika permainan ditunda. Kami perlu mencari jalan untuk mengatasi tekanan yang dialami sepanjang hari.
“Secara keseluruhan hari ini adalah baik untuk saya. Tidak banyak peluang untuk melakukan birdie seperti semalam tetapi saya banyak melakukan putting. Ianya menggembirakan saya dan catatan 6 dibawah par adalah baik,”kata Shanshan Feng.
Sembilan lubang pertama, Feng yang juga juara bertahan membenam tiga birdie sebelum hujan turun sekaligus memaksa permainan dihentikan seketika.
Keadaan green yang basah nyata mengganggu rentak permainan, namun Feng tampak sudah bersedia apabila tidak melakukan catatan bogey, sebaliknya menambah tiga lagi birdie di Sembilan lubang terakhir untuk menutup hari kedua dengan 6 dibawha par.
Selepas beraksi 36 lubang, Shanshan Feng melonjak ke tangga teratas selaku pendahulu berseorangan dengan catatan terkumpul, 131 pukulan 11 dibawah par.
Mengekori rapat Feng adalah pemain yang berada di kedudukan ketiga semalam, Madelene Sagstorm.
Pemain kelahiran Sweeden ini ternyata hampa apabila membenam bogey di lubang pertama dan kedua.
Namun, beliau bangkit dibawah cuaca buruk dengan tujuh birdie berjaya dilakar sepanjang hari kedua untuk menutup saingan dengan 66 pukulan 5 dibawah par.
“Mungkin saya terlalu fokus diawal saingan. Mencari rentak adalah kunci utama.
“Saya bermain dengan baik selepas hujan dan teruja apabila dapat melakukan pukulan yang baik. Saya tidak memberi fokus kepada kedudukan pemain. Saya hanya mahu bermain dengan baik dan berseronok dilapangan,”kata Madelene.
Selepas dua pusingan, Madelene Sagstorm mengumpul 132 pukulan 10 dibawah par, ketinggalan satu pukulan dibelakang pendahulu.
Dikedudukan ketiga adalah pemain Amerika Syarikat, Cristie Kerr yang mengumpul 133 pukulan 9 dibawah par selepas beraksi dua hari di lapangan TPC Kuala Lumpur.
Pusingan kedua menyaksikan beliau antara pemain terbaik yang melakar catatan terendah dengan 63 pukulan 8 dibawah par.
“Saya melakukan pukulan yang baik hari ini. Sungguh gembira dengan perubahan hayunan selepas bergelut dengan aksi hambar semalam.
“Saya tidak akan melakukan latihan, hanya fokus kepada permainan seterusnya,”kata Cristie Kerr.OLEH KU MOHD LUFTI
Kedudukan Pemain – Hari Kedua
Shanshan Feng 66 65 131 -11
Madelene Sagstorm 66 66 132 -10
Cristie Kerr 70 63 133 -9
Sei Young Kim 69 65 134 -8
Danielle Kang 68 67 135 -7