Oleh Muhammad Aiman

Selepas tujuh tahun bergelut dengan kecederaan, atlet lompat tinggi kebangsaan, Lee Hup Wei gembira dan teruja kerana dia masih boleh melakukan lompatan setinggi 2.24 meter.

Hup Wei melakukan catatan itu dalam laluan memenangi pingat emas di Kejohanan Olahraga Terbuka Australia di Pusat Olimpik Sydney justeru memberikannya keyakinan untuk menyerlah dan cuba memecahkan rekod Sukan Sea apabila temasya itu berlangsung di Kuala Lumpur, Ogos depan.

Ketika ini, rekod temasya dwitahunan itu masih lagi dipegang bekas jaguh lompat tinggi negara Loo Kum Zee iaitu 2.24m yang dilakukannya ketika di Sukan Sea Chiang Mai, Thailand pada 1995.

“Ia sudah tentunya satu suntikan buat saya kerana berjaya menemui semula prestasi sebenar selepas tujuh tahun saya tenggelam timbul. Kali terakhir saya berada pada tahap terbaik adalah ketika melakukan 2.27m pada 2010, ketika itu saya 22 tahun dan saya seperti tidak percaya boleh melepasi 2.24m pada umur sekarang,” kata Hup Wei.

Tambah atlet kelahiran Kajang itu, “Sekarang bagi saya ia bukan mengenai menang pingat emas atau perak, tetapi ia mengenai prestasi saya. Lagipun rekod Sukan Sea itu sudah berusia sangat lama, memang motivasi saya begitu tinggi mahu cuba untuk memecahkannya.”

Hup Wei yang pernah beberapa tahun memegang rekod kebangsaan bagaimanapun tidak kisah seandainya rekod itu dapat dileburkan oleh pemegang rekod kebangsaan semasa, Nauraj Singh Randhawa dan Hup Wei berharap akan diberi peluang  untuk berlatih sekali lagi di bawah jurulatih Nauraj dari Australia, Alex Stewart menjelang berlangsungnya KL 2017.

“Saya dan Nauraj berlatih dengan jurulatih yang sama (Stewart). Berlatih dengan Stewart sangat bagus, saya boleh memperbaiki teknik lompatan untuk cuba melepasi had ketinggian yang lebih baik. Kalau saya boleh teruskan, ada kemungkinan saya boleh memperbaharui catatan peribadi terbaik saya (2.27m),” ujar pemenang tiga pingat emas Sukan Sea itu.

Hup Wei turut memaklumkan bahawa dia dan Nauraj meletakkan sasaran untuk layak ke Kejohanan Olahraga Dunia di London, England pada 6-13 Ogos, iaitu lebih kurang seminggu sebelum KL 2017 membuka tirai secara rasmi. 

- Advertisement -