Oleh Muhammad Aiman

Hasrat Johor Darul Takzim menempah tiket lebih awal ke pusingan kedua saingan Piala AFC tidak kesampaian setelah mengalami kekalahan 2-3 kepada kelab Filipina, Global FC dalam aksi peringkat kumpulan, pada Rabu.

Tiga gol dalam tempoh kurang 10 minit di separuh masa pertama menyaksikan Global FC bimbingan jurulatih dari Jepun, Toshiaki Imai bukan sahaja menghadiahkan kekalahan sulung buat Harimau Selatan di Piala AFC musim ini, tetapi turut berjaya membalas dendam kekalahan 0-4 di Larkin pada bulan lalu.

Setelah kekalahan kepada Pahang dalam aksi suku akhir Piala FA pada Sabtu lalu, Benjamin Mora melakukan beberapa rombakan antaranya merehatkan Safiq Rahim dan Nazmi Faiz Mansor mengemudi jentera tengah bersama Amirulhadi Zainal.

Setelah aksi seimbang di babak awal permainan, Global mula bermain lebih agresif dengan melancarkan serangan bertali arus dan merebut pendahuluan menerusi Denis Vilaneuva pada minit ke-26 – kurang seminit selepas percubaan Kemy Agustien mengegar palang.

Shu Sasaki menjadikan kedudukan 2-0 lima minit kemudian selepas menolak masuk bola menewaskan Izham Tarmizi Roslan Global terus mengukuhkan kelebihan menerusi Amani Aguinaldo pada minit ke-34.

JDT tidak menyerah dengan mudah dan cuba menterjemahkan kebangkitan di babak kedua, menerusi jaringan Gabriel Guerra pada minit ke-47 dan 83 namun ianya sudah terlewat bagi mereka untuk sekurang-kurangnya menyelamatkan satu mata.

Kemenangan membolehkan Global kini melonjak ke kedudukan teratas Kumpulan F dengan sembilan mata, dua mata mengatasi JDT. Hanya juara kumpulan sahaja akan meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.

Aksi seterusnya buat JDT adalah pada 19 April depan apabila mereka bertandang ke Phnom Penh untuk menentang Beoungket Angkor FC sebelum menutup tirai peringkat kumpulan dengan menentang Magwe FC di Larkin pada 3 Mei.

- Advertisement -