Oleh Ku Mohd Lufti

Baru nak reda isu politik melibatkan sukan bolasepak, basikal pula menjadi mangsa kedua tatkala diawal pembukaan kalendar 2017.

Marahkan nyamuk, kelambu di bakar…masalah yang tercetus melibatkan kerajaan negeri Terengganu dan penganjur lumba jelajah berbasikal, Le Tour de Langkawi.

Menteri Besar Terengganu meluahkan rasa kecewa terhadap penganjur LTdL kerana mengenepikan Terengganu dalam laluan bagi tahun 2017.

Dakwa Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, tiada perbincangan dibuat tentang keputusan ini daripada pihak penganjur.

Tidak cukup dengan luahan, Razif juga seolah olah mengugut mahu memusnahkan sebuah pasukan berbasikal lebuhraya yang sudah punya nama dipentas antarabangsa.

Terengganu Pro Cycling , dan kini dengan nama Terengganu Pro Asia Cycling (TSG) berdepan kemungkinan dibubarkan atau diserahkan kepada pihak lain untuk diuruskan.

Tidak puas hati dengan penganjur, kenapa TSG menjadi mangsa? Apa kaitan pasukan yang pernah berada di ranking nombor satu Asia dengan konflik antara MB dan LTdL?

Tidak dinafikan, Terengganu sememangnya negeri yang cukup hebat dalam merencana dan melahirkan jaguh jaguh dalm sukan berbasikal dan ia telah terbukti menerusi Azizul Hasni Awang, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016.

Malah, Harrif Salleh merupakan pemenang pingat emas di Sukan SEA 2015 serta Anuar Manan, pakar pecut tunggal Asia yang pernah menyarung jersi Raja Pecut LTdL.

Difahamkan, Terengganu berdepan masalah kewangan sekaligus tidak mampu untuk menjadi penaja dalam LTdL, malah hanya  menyediakan venue bagi laluan perlumbaan serta pengenalan pasukan sahaja.

Namun, penganjur LTdL mengubah laluan dengan mengeluarkan Terengganu daripada laluan bagi menjimatkan ko penganjuran susulan pemotongan geran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dilihat sebagai tidak adil oleh Menteri Besar Terengganu.

Adakah meluahkan kekecewaan menerusi media tanpa perjumpaan dan perbincangan jalan terbaik?

Inilah bahana andai politik dimasukkan ke dalam sukan, ia tidak akan bertahan lama, malah bakal mengundang pelbagai reaksi negative daripada pelbagai aspek.

Jangan libatkan TSG dalam hal kalian, mereka sudah cukup gah, andai kerajaan negeri Terengganu tidak mahu meneruskan tajaan kepada pasukan berstatus Pro Benua ini, ia dijangka tidak memberi masalah besar kepada pengurusan.

TSG mempunyai dana menerusi tajaan daripada pelbagai syarikat dalam dan luar negara dan boleh dikatakan pasukan ini sudha mampu untuk berdiri dengan sendiri, tanpa bantuan daripada kerajaan negeri.

“Saya rasa seolah olah menunjukkan Kerajaan Negeri buat ini untuk membangunkan sukan lumba basikal tidak mendapat sokongan maka kerajaan negeri akan memikirkan semula adakah TSG ini patut kita teruskan atau diberhentikan atau kita serahkan kepada pihak lain untuk menguruskan.

“Ini kerana supaya kita tidak payah membuang masa dan membuang duit kerana Negeri Terengganu yang bersungguh (sukan berbasikal) tetapi tidak mendapat sokongan daripada pihak lain termasuk membantu Terengganu mempromosikan pelancongan.” Kata Razif.

Ini antara komen Razif menerusi media rasmi negeri berhubung isu kekecewaan terhadap penganjur LTdL.

Mungkin Razif perlu menilai kembali, adalah penubuhan TSG sejak 2011 mendatangkan kerugian? Atau pasukan bolasepak yang diberi peluang demi peluang, peruntukkan yang besar,namun hanya mampu untuk meraih trofi diperingkat tempatan semata mata.

Siapa sahaja yang terlibat dalam hal ini, jangan libatkan politik dalam sukan, setiap perkara ada jalan penyelesaian, guna kaedah yang professional dan banyakkan berbincang daripada ‘berperang’.

- Advertisement -