
Pasukan bola sepak sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur nyata teruja dan bersemangat untuk menyertai sepak mula pertandingan sulung Piala Magnolia Bawah 12 tahun F&N yang bermula di Kuala Selangor.
Sebanyak 16 buah sekolah, kesemuanya pemenang dalam pertandingan Majlis Sukan Sekolah Daerah, akan bersaing untuk merebut anugerah tertinggi kejohanan yang julung kali diadakan ini.
Pertandingan yang akan mencungkil bakat di peringkat akar umbi, Piala Magnolia F&N disokong Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan (KPM).
Sekolah Kebangsaan Seri Pristana di Sungai Buloh yang dilantik sebagai pengelola pastinya menyasarkan untuk memberikan aksi yang mantap di tempat sendiri.
Pengurus pasukan, Mohd Zubaidi Mat Akhir berkata Piala Magnolia F&N adalah penting kerana ia mewujudkan platform baharu untuk pembangunan akar umbi di negeri ini.
“Kejohanan ini berbeza dan unik kerana buat pertama kali dalam sejarah, pertandingan akan menghimpunkan johan sekolah-sekolah Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dari Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Kami gembira diberi peluang untuk menyertai kejohanan Piala Magnolia F&N ini dan juga menganjurkannya buat kali pertama. Kami teruja dan tidak sabar untuk bersaing,” kata Zubaidi.
Beliau turut menambah, SK Seri Pristana yang diketuai oleh Abid Harraz Asyraf Fitri telah membuat persiapan rapi dengan tiga sesi latihan seminggu sejak pemain dipilih pada Mac lalu.
Beberapa perlawanan persahabatan turut diadakan bagi mengukur tahap kesiapsiagaan pasukan serta menilai kekuatan dan kelemahan pemain menjelang sepak mula minggu depan.
SK Sri Pristana, yang diundi dalam Kumpulan D akan membuka kempen menentang SK Bandar Baru Salak Tinggi.
Dua lagi pasukan dalam kumpulan itu ialah SK Taman Tun Teja dan SK Sultan Hishamuddin Alam Shah.
Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun F&N Magnolia akan dianjurkan pada 14 hingga 16 Oktober 2025.
Kejohanan tiga hari itu menghimpunkan juara sekolah daripada pertandingan Majlis Sukan Daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan tahun ini.
Pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan dalam format pertandingan sembilan sebelah. Juara dan naib juara kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.
Tuan rumah Selangor akan diwakili 10 pasukan manakala Kuala Lumpur mempunyai empat pasukan dan Putrajaya mempunyai dua pasukan.
Kesemua pasukan yang bertanding adalah johan Majlis Sukan Daerah masing-masing, kecuali Putrajaya yang akan diwakili oleh johan dan naib johan Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Kejohanan Piala Magnolia telah dilancarkan secara rasmi pada 22 Ogos 2025 dan dihadiri oleh Encik Ithnin Bin Mahadi, Pengarah BSKK, Encik Norazrin Bin Norsyam Yee, Pengarah, Kerajaan & Industri, Engagement, Fraser & Neave Holdings Berhad, dan Encik Norismadi Manap, Presiden, Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM)
KEJOHANAN BOLASEPAK BAWAH 12 TAHUN (B-12) F&N MAGNOLIA
KUMPULAN A: SK Ulu Yam Bharu, SK Cochrane, SK Semenyih, SK Putrajaya Presint 9
GROUPING B: SK Bukit Naga, SK Batu Muda, SK Binjai Jaya, SK Putrajaya Presint 15
KUMPULAN C: SK Kebun Baharu, SK Taman Melati, SK Damansara Damai (2), SK Serdang UPM
KUMPULAN D: SK Taman Tun Teja, SK Sultan Hisamuddin Alam Shah, SK Seri Pristana, SK Bandar Baru Salak Tinggi





























