Shaaban Hussin

By Muhammad Aiman

Karier pemain golf professional tanah air, Shaaban Hussin berakhir dalam nota penuh tragis apabila kaki kirinya terpaksa dipotong manakala tangan kirinya mengalami kecacatan kekal selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Guthrie pada Khamis lalu.

Pada mulanya, kecederaan yang dialami pemain berusia 36 tahun itu dijangka hanyalah patah kaki dan tangan yang mungkin menyaksikannya tersisih daripada aksi selama hampir setahun namun perkembangan terkini yang disahkan sendiri oleh abangnya, Syawal Hussin ini ternyata mengejutkan peminat sukan tanah air khususnya sukan golf.

“Saya lihat sendiri kaki kirinya dipotong, Kami dimaklumkan bahagian bawah dari paras lutut tidak dapat diselamatkan lagi kerana terdapat urat saraf yang putus. Buat masa ini dia masih lemah dan tidak dapat berkomunikasi,” jelas Syawal.

Shaaban terbabit dalam kemalangan ngeri itu apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya hilang kawalan gara-gara cuba mengelak sebuah kereta di hadapannya, menyebabkannya terbabas dan terseret ke lebuhraya sebelum tercampak ke dalam longkang.

Ketika kejadian, Shaaban yang baru sahaja menamatkan kemarau 14 bulan tanpa kejuaraan dengan menjuarai Kejohanan PGM Sime Darby Harvard pada awal bulan ini dalam perjalanan dari Ijok ke Damansara untuk menjalani latihan.

Dalam pada itu, Persatuan Pemain Golf Professional (PGAM) dalam satu kenyataan melahirkan rasa simpati dan memberikan penghargaan kepada pemain itu yang disifatkan mereka sebagai individu penting di dalam pembangunan sukan golf di peringkat tempatan dan juga serantau.

“PGAM dan ahlinya cukup terkejut dengan insiden menimpa Shaaban. Untuk bertahun lamanya, Shaaban telah menjadi tonggak yang melonjakkan nama negara dalam dunia golf profesional menerusi karakternya yang cukup disukai ramai. Penampilan dan gaya permainannya di lapangan golf telah menjadikannya seorang pemain professional terkemuka dan kami hargai setiap sumbangannya.”

Pengurus Besar PGAM, Faridil Atras Othman turut menyatakan kesediaan persatuan itu untuk membantu Shaaban dan keluarganya namun menjelaskan ia memerlukan kelulusan daripada Ahli Majlis PGAM selain mendapatkan pandangan dari Majlis Sukan Negara.

Untuk rekod, Shaaban mula menceburi sukan golf pada usia 14 tahun ketika menjadi kedi di Kelab Golf Diraja Kedah dan mula bergelar profesional pada 2002. Dia mempunyai sejumlah empat gelaran PGM termasuk gelaran PGM Sime Darby Harvard yang dimenanginya di Kedah baru-baru ini.

Antara pencapaian terbaik lain Shaaban adalah pada November 2009 di mana dia begitu hampir untuk memenangi Jelajah Asia yang pertamanya di Terbuka Kemboja. Begitupun dia menamatkan kejohanan itu di tempat kedua di belakang Marcus Both dengan beza satu strok.

Selain itu, Shaaban pernah membuat tiga penampilan di Jelajah PGA US CIMB Classic – kejohanan yang menghimpunkan pemain-pemain golf terkemuka dunia dari tahun 2010-2012.

Dia juga merupakan salah seorang daripada empat anggota pasukan yang meraih emas Sukan SEA 2001, bersama-sama Airil Rizman Zahari, S.Sivachandran dan Sahal Saedin – pencapaian yang masih belum diatasi sehingga kini.   

- Advertisement -