delia-dan-rachel-arnold

Oleh Muhammad Aiman

Pasangan remaja, S. Sivasangari dan Chan Yi Wen meyingkirkan pilihan kedua, Andrea Lee-Aifa Azman seterusnya melangkah ke final edisi sulung Kejohanan Skuash Terbuka Beregu Malaysia yang berlangsung di Pusat Skuash Nasional, Bukit Jalil.

Begitupun, kemenangan tidak hadir dengan mudah buat Sivasangari dan Yi Wen yang hanya digandingkan pada saat akhir setelah Dato’ Nicol David menarik diri kerana kecederaan harmstring. 

Dalam aksi separuh akhir petang tadi, mereka diberi tentangan sengit oleh Andrea-Aifa yang juga rakan sepelatih di kem remaja kebangsaan sebelum mencatat kemenangan 11-10, 6-11, 11-10 dalam masa 37 minit.   

“Kami ketinggalan 7-10 di set pertama tetapi menunjukkan ketenangan untuk meraih empat mata berturut-turut. Kami sedikit hilang fokus di set kedua, membolehkan mereka bangkit dan ianya satu aksi sengit sehingga ke penghujung. Kami bernasib baik untuk mara,” ujar Sivasangari.

Menanti Sivasangari-Yi Wen di final adalah pasangan adik-beradik Delia dan Rachel Arnold yang juga merupakan pilihan utama kejohanan – pemenang pingat gangsa Kejohanan Skuash Beregu Dunia itu mara setelah menyingkirkan pilihan keempat, Aika Azman-Lai Wen Li 11-6, 11-5 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Sivasangari, pemain remaja terbaik negara ketika ini yang juga semifinalis Kejohanan Remaja Dunia di Poland Ogos lalu, mengakui pertemuan menentang Rachel-Delia menjanjikan satu aksi yang sukar.

“Mereka telah bergandingan dengan baik dan cukup serasi. Tetapi kami akan cuba berikan aksi terbaik dan tidak memberi mereka laluan mudah,” katanya.

Sementara itu, bagi acara beregu lelaki, Nafiizwan Adnan dan Ivan Yuen menepati status selaku pilihan kedua dengan menewaskan rakan senegara, Ng Eain Yow-Syafiq Kamal 11-8, 11-9 untuk melangkah ke perlawanan akhir.

Mereka akan berdepan pilihan utama dari Australia, Rex Hendrick-Zac Alexander yang mara setelah menewaskan satu lagi pasangan Malaysia, Addeen Idrakie-Sanjay Singh 11-4, 10-11, 11-8.

“Acara beregu lebih berisiko kerana anda tidak boleh melengahkan permainan, ia akan menyebabkan lawan mengambil kesempatan. Jadi adalah penting tamatkan perlawanan secepat mungkin, kutip sebanyak mungkin mata dan kurangkan kesilapan,” ujar Ivan.

Final acara beregu campuran pula akan menemukan gandingan Delia-Sanjay Singh dan Syafiq-Sivasangari. Delia dan Sanjay menewaskan Eain Yow-Andrea manakala Syafiq Sivasangari menewaskan Ivan-Rachel di separuh akhir.

- Advertisement -