Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican telah membentangkan permohonan Cadangan Kelonggaran Khas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi Program ‘Road To Tokyo’ (RTT) 2020 dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada pagi ini dan cadangan tersebut telahpun
mendapat kelulusan dan persetujuan ahli-ahli Mesyuarat.

Kelonggaran khas ini akan membolehkan atlet-atlet kebangsaan di bawah Program RTT menjalani sesi latihan secara kem latihan berpusat di tiga (3) lokasi yang telah dikenalpasti.

Kem latihan berpusat yang menggunakan pendekatan kuarantin (quarantine-based approach) akan bermula pada 1 Jun 2020 sehingga 30 Jun 2020 sebagai fasa pertama dan secara berfasa sehingga berakhir tempoh PKPB atau selepas arahan-arahan pihak berkuasa mengenai aktiviti sukan dilonggarkan.

Kesemua atlet, jurulatih, pegawai dan anggota sokongan serta pegawai perkhidmatan sains dan perubatan sukan akan ditempatkan di tiga (3) lokasi yang telah dikenalpasti iaitu:

(i) Kompleks Sukan Bukit Jalil (Bukit Jalil Sports City);

(ii) Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur; dan

(iii) Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi, Kedah.

Anggaran keseluruhan yang akan terlibat di tiga (3) lokasi kem latihan berpusat program RTT adalah sejumlah 265 orang. Statistik peserta dan senarai sukan mengikut lokasi yang telah dikenalpasti adalah seperti berikut:- 

i. Kompleks Sukan Bukit Jalil (Bukit Jalil Sports City):

Sukan-sukan yang akan ditempatkan di pusat latihan ini adalah Akuatik (Terjun dan Renang), Gimnastik – Artistik, Memanah dan Karate. Manakala bagi atlet paralimpik pula, sukan-sukan yang telah disenaraikan adalah Akuatik-Renang, Memanah, Berbasikal, Olahraga, Badminton, Boccia, Powerlifting, Ping Pong, Menembak dan Tennis 
Berkerusi Roda. Jumlah atlet Program RTT adalah seramai 40 orang (14 olimpik + 26 paralimpik); manakala sparring/pacer, jurulatih, pegawai, dan anggota perkhidmatan sokongan yang lain adalah seramai 141 orang. Jumlah keseluruhan seramai 181 orang akan ditempatkan di Kompleks Sukan Bukit Jalil.

ii. Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur:

Atlet-atlet sukan Badminton akan ditempatkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Sejumlah 13 atlet Program RTT (termasuk 1 atlet paralimpik) akan menjalani latihan bersama jurulatih, ‘sparring partner’, anggota sokongan dari pelbagai bidang melibatkan sejumlah 56 orang di Akademi Badminton Malaysia.

iii. Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi, Kedah:

Sukan Pelayaran pula akan ditempatkan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi, Kedah dengan 4 orang atlet Program RTT; serta jurulatih dan pegawai yang terlibat keseluruhannya seramai 28 orang.

Dari seramai 265 orang keseluruhannya yang terlibat, sejumlah 40 pegawai terdiri daripada pegawai perubatan dan sains sukan dari ISN yang akan dipertanggungjawabkan untuk menyediakan perkhidmatan sains dan perubatan sukan yang secara langsung akan membantu latihan harian atlet Program RTT.

Jawatankuasa Perlaksanaan dianggotai oleh MSN, ISN dan Persatuan Sukan Kebangsaan berkaitan akan bersama-sama melaksanakan program tersebut dan telah menyediakan Garis Panduan Standard (SOP) yang terkini termasuk mengambilkira SOP yang telah ditetapkan oleh pihak MKN dan KKM.

KBS juga akan menubuhkan satu Jawatankuasa Pemantauan yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan sendiri bagi memastikan pelaksanaan Program Kem Latihan Berpusat RTT ini dijalankan mengikut pematuhan kepada SOP yang ditetapkan.

Kesihatan dan keselamatan atlet, jurulatih, anggota sokongan dan semua yang terlibat adalah menjadi keutamaan dalam perlaksanaan program ini dalam kita sama-sama
memastikan jangkitan Covid-19 tidak akan berlaku kepada mereka yang terlibat.

- Advertisement -