Skuad B-22 tahun Malaysia dan Myanmar akan berentap dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam esok tatkala kedua-dua pasukan sedang mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Kejohanan Kelayakan AFC B-23 di Bangkok, minggu hadapan.

Dalam masa sama, perlawanan ini juga medan terbaik buat kedua-dua Malaysia dan Myanmar yang diundi sekumpulan di temasya Kuala Lumpur 2017 untuk mendapatkan gambaran awal akan kekuatan dan kelemahan masing-masing.

Begitupun, seperti diketahui, pengendali pasukan negara, Dato’ Ong Kim Swee masih pening untuk membentuk skuad terbaiknya di mana sehingga tengah hari tadi dia hanya mempunyai 19 pemain dan mengharapkan lima lagi pemain dari Pahang dan Pulau Pinang akan melapor diri lewat hari ini.

“Saya telah memanggil beberapa pemain yang sebelum ini tiada dalam senarai asal sebagai alternatif menjadikan jumlah keseluruhan 19 pemain. Kesemua pemain ini cergas dan bebas kecederaan. Kebanyakan mereka telah bersama saya ketika menyertai Jelajah China baru-baru ini, jadi saya yakin mereka tahu apa yang saya harapkan.

“Perlawanan persahabatan ini sangat penting kerana saya boleh menilai sama ada mereka boleh bermain dengan formasi, taktikal dan strategi yang saya mahukan sebelum kita berlepas ke Bangkok,” ujar Kim Swee.

Lima muka baru dipanggil Kim Swee di luar senarai asal adalah Sean Eugene Selvaraj, L. Kalaiharasan dan Fauzan Fauzi (Negeri Sembilan), Ahmad Solehin Mamat (Kuala Lumpur) dan penjaga gol, Faridzuan Kamaruddin (Sime Darby).

Jika itu dilema Kim Swee, lain pula ceritanya di kem Myanmar apabila mereka membawa barisan 23 pemain terkuat termasuk 10 pemain yang beraksi di Piala Dunia B-20 di New Zealand dua tahun lalu.

Ketua jurulatih, Gerd Zeise berkata pasukannya telah dikumpulkan dan menjalani latihan bersama sejak tiga minggu lalu dan telah mengharungi empat perlawanan persahabatan sebelum tiba di Kuala Lumpur.

“Hanya dua pemain tidak dapat dibawa bersama kerana mengalami kecederaan, selebihnya adalah skuad terbaik kami. Jadi, saya berharap perlawanan esok akan dapat dimanfaatkan sebaiknya pemain untuk membuktikan kualiti mereka dan ia peluang buat saya mengukur prestasi mereka sebelum bermula pusingan kelayakan,” kata Zeise.

Untuk rekod, Kelayakan AFC B-23 akan berlangsung dari 19-23 Julai dengan Thailand menjadi tuan rumah Kumpulan A yang turut membabitkan Malaysia, Mongolia dan Indonesia manakala Myanmar akan menjadi tuan rumah Kumpulan F yang membabitkan Australia, Singapura dan Brunei.

Hanya juara kumpulan sahaja akan terjamin tempat mereka di pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 yang akan berlangsung di China, tahun hadapan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -