Selepas dipilih sebagai tuan rumah kejohanan hoki Piala Dunia Remaja 2023 oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) semalam, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) terus mengorak langkah melakukan persiapan apabila mengumumkan penganjuran saingan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2021.

Presiden KHM, Datuk Sri Subahan Kamal menjelaskan, TNB MJHL 2021 akan diadakan pada bulan Disember dan butiran lanjut mengenai kejohanan itu akan diumumkan kelak.

Ia pastinya akan medan terbaik buat pemain pemain remaja untuk menarik perhatian barisan kejurulatihan skuad Projek Khas Lelaki negara untuk melakukan persiapan sebelum Piala Dunia Remaja 2023 bermula.

“Semua jurulatih kebangsaan negara, khususnya yang terlibat dengan pasukan remaja negara akan menggunakan MJHL ini sebagai medan untuk mereka memilih bakat-bakat untuk diserapkan dalam pasukan kebangsaan,” katanya menerusi satu hantaran video di laman Facebook KHM, hari ini.

Datuk Sri Subahan turut berharap pasukan pasukan yang akan mengambil bahagian dapat melakukan persiapan yang sewajarnya dalam tempoh masa yang ada untuk memberikan persembahan yang terbaik.

 

- Advertisement -