
MALAYSIA mensasarkan tiga emas pada temasya Sukan Deaflympics 2025 di Tokyo, Jepun, November depan selepas kejayaan meraih dua emas di Brazil, tiga tahun lepas.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Dr Ong Shin Ruenn berkata, latihan intensif bagi atlet ke temasya musim panas empat tahun sekali itu telah berlangsung sejak tahun lepas di Selangor, Perlis, Terengganu dan Johor .
Latihan pusat bagi atlet badminton dan tenpin boling diadakan di Petaling Jaya Selangor manakala bagi olahraga, persiapan intensif dijalankan di Petaling Jaya, Perlis dan Terengganu. Atlet karate pula ditempatkan di pusat latihan di Terengganu.
Temasya Deaflympics akan berlangsung padan15-26 November dengan 18 sukan dan 216 acara dipertandingkan.
Pada temasya di Caxias Dol Sol, Brazil 2022, Malaysia raih dua emas menerusi sukan badminton selepas penantian 21 tahun.
âKami amat berterima kasih di atas sokongan padu dari pihak Kerajaan, terutamanya YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu prihatin terhadap Pembangunan sukan Orang Pekak Malaysia dengan meluluskan peruntukan dana RM3 juta bagi persiapan khusus dan latihan atlet ke Sukan Deaflympics di Tokyo nanti,â kata Ong, selepas Mesyuarat Agung Tahunan MSDeaf di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Ong, peruntukan dana RM3 juta untuk MSDeaf yang disalurkan menerusi Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara (MSN) itu digunakan untuk melaksanakan pelbagai program terutamanya mempersiapkan atlet untuk temasya Deaflympics di Tokyo.
âIni termasuklah memperkasa dan meningkatkan lagi pembabitan atlet wanita dalam sukan orang pekak sepertimana saranan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh yang mahu melihat penyertaan lebih ramai wanita terbabit dalam sukan orang pekak,â kata Ong lagi.
Selain Deaflympics di Tokyo, MSDeaf juga menggalas tugas besar memastikan pencapaian cemerlang atlet pada Sukan Orang Pekak Asia Tenggara ke-2 (2nd SEA Deaf Games 2025) di Jakarta, Indonesia,, 20-26 Ogos depan.
âKami mensasarkan sekurang-kurang 15 emas di Jakarta nanti dengan sasaran dalam sukan badminton, tenpin boling, catur dan ping pong,â kata Ong.
Latihan intensif bagi Sukan SEA di Jakarta itu juga telah berlangsung sejak tahun lepas di Terengganu, Perlis dan Sabah bagi sukan olahraga, manakala latihan intensif badminton dan tenpin boling di Petaling Jaya Selangor, catur di Pulau Pinang dan Sabah manakala Ping Pong bertempat di Sarawak.
Menurut Ong, barisan kepimpinan baru MSDeaf, menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) hari ini, akan menggiatkan usaha memgembangkan dan menarik penyertaan lebih ramai dalam sukan orang pekak dengan menggandakan pelbagai program berkaitan.
***
Barisan Exco MSDeaf bagi Penggal 2025 – 2029
Presiden: (Dr.) Ong Shin Ruenn
Timbalan Presiden: Mohd Yusri Bin Abd Ghani
Naib Presiden:
1. Sarkunan A/L Balakrisnan
2. â Ko Ming Liang
3. â Mohd Yazid Bin Bain
4. â Lam Wai Hoong
5. â Choo Mei Lin
Setiausaha Agung: Kamarzaman Harun
Penolong Setiausaha Agong: Nazrul Azwa Zulkipply
Bendahari: Muhammad Shahril Bin Mohd Saupi































