mas-indo

Oleh Muhammad Aiman

Sebagai satu inisiatif menarik kehadiran lebih ramai penyokong, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan memberi kemasukan percuma dengan tidak mengenakan tiket bagi menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Papua New Guinea di Stadium Shah Alam pada 14 November depan. 

Perlawanan persahabatan berstatus ‘A’ itu adalah aksi terakhir skuad kendalian Dato’ Ong Kim Swee sebelum berlepas ke Yangon untuk menghadapi Piala AFF Suzuki 2016 bermula 20 November depan.  

Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin berkata, “Mengikut ketetapan, tiket bagi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” membabitkan skuad kebangsaan adalah berharga RM30 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.

“Tapi sebagai penghargaan kepada para penyokong bagi tahun 2016 dan mengambil kira perlawanan menentang Papua New Guinea ini juga adalah perlawanan terakhir skuad Harimau Malaysia sebelum beraksi di Piala Suzuki AFF 2016, pihak FAM telah bersetuju untuk para penyokong masuk percuma ke perlawanan pada Isnin ini.”

Aksi menentang pasukan di ranking ke-159 dunia itu adalah perlawanan kelima di laman sendiri buat skuad Harimau Malaysia bagi tahun 2016 selepas aksi persahabatan menentang Macau di Stadium Hang Jebat (28 Mac), dua aksi play-off Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Timor Leste di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin (2 dan 6 Jun) serta aksi persahabatan bertemu Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober lalu.

Sementara itu, ketua jurulatih kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee berharap para penyokong dapat menggunakan peluang masuk percuma ini dengan sebaiknya bagi membanjiri stadium seterusnya memberikan suntikan semangat dan motivasi tambahan kepada pemain untuk melakukan yang terbaik di Myanmar nanti. 

“Sudah tentu sebagai jurulatih, saya mahu melihat stadium kita dibanjiri para penyokong setiap kali kita beraksi di gelanggang sendiri kerana ia secara tidak langsung akan memberi semangat tambahan kepada para pemain bagi mereka memperagakan aksi terbaik pada perlawanan berkenaan.

“Lagipun ini merupakan pentas terakhir sebelum saya menamakan senarai akhir 23 pemain ke Piala Suzuki AFF 2016. Jadi harap dengan kemasukan percuma ini, lebih ramai penyokong akan dapat sama-sama hadir ke Stadium Shah Alam, Isnin ini bagi memberikan sokongan,” kata Kim Swee.

Sepak mula perlawanan menentang Papua New Guinea ini ditetapkan pada jam 3 petang bagi membolehkan skuad Harimau Malaysia menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas memandangkan dua perlawanan awal Kumpulan B bertemu Kemboja (20 November) dan Vietnam (23 November) di Yangon akan berlangsung jam 3 petang.

Hanya perlawanan terakhir menentang tuan rumah, Myanmar (26 November) akan berlangsung pada 6 petang. 

- Advertisement -