Patrick Dos Santos
T-Team’s Patrick Dos Santos

Oleh Muhammad Aiman

Dua gol dalam tempoh empat minit di babak kedua memastikan Perak bangkit membenam pendahulu Liga Super, Felda United 3-2 di Stadium Ipoh.

Felda berpeluang untuk kembali membuka jurang tiga mata di tangga teratas berikutan keputusan seri dicatat pencabar terdekat, Johor Darul Takzim pada Sabtu, namun gagal mengambil kesempatan meskipun pada satu ketika dilihat berada dalam laluan untuk mencatat kemenangan kelima berturut-turut.

Dua gol jaringan Francis Forkey Doe pada minit ke-23 dan 33, memadam kelebihan awal milik Perak yang mendahului menerusi jaringan Firdaus Saiyadi pada minit ke-13, namun hasrat pasukan bimbingan Irfan Bakti itu membawa pulang tiga mata dinafikan Elias Fernandes yang meledak dua jaringan pantas pada minit ke-76 dan 80.

Ia adalah kemenangan kedua buat Perak musim ini, dan membantu mereka memperbaiki kedudukan dengan melonjak ke tangga kelapan dengan 10 mata, manakala Felda kekal mendahului liga menerusi beza jaringan.

Dalam pada itu, nasib berbeza dialami Terengganu dan T-Team atau kini dikenali dengan nama Terengganu FC II. Tatkala ‘si abang’ terus dihimpit tekanan setelah mengalami kekalahan keempat berturut-turut, TFC II pula mencuri tumpuan apabila melonjak ke kedudukan ketiga liga dengan mencatat kemenangan keempat berturut-turut.

TFC II mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Pulau Pinang, walaupun pada satu ketika mereka mensesiakan kelebihan dua gol dengan membenarkan skuad Harimau Kumbang bangkit mengikat kedudukan 2-2 di Stadium Bandaraya.

The Titans mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Asrol Ibrahim dan Patrick Dos Santos, namun Pulau Pinang yang mencari kemenangan pertama selepas tujuh perlawanan tampil dengan aksi bertenaga di babak kedua untuk menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan Reinaldo Lobo dan Osas Saha.

Dengan perlawanan dilihat menuju keputusan seri, Patrick Dos Santos meledak gol kemenangan TFC II seminit sebelum tamat permainan dan membantu TFC II melonjak ke tangga ketiga liga dengan 15 mata, mengatasi Selangor menerusi beza jaringan.

 

KEDUDUKAN PASUKAN LIGA SUPER 2016

super.liga.25.4

- Advertisement -