Edan Syah

Oleh Ku Mohd Lufti

Atlet olahraga professional jarak jauh, Edan Syah memasang impian untuk berlari acara maraton di peringkat Sukan Olimpik 2020.

Pelumba berusia 29 tahun ini bagaimanapun perlu melepasi had masa 2 jam 19 minit sebagai syarat penyertaan temasya sukan terbesar dunia yang bakal berlangsung di Tok­yo, Jepun.

Pencapaian terbaik Edan ketika ini adalah 2 jam 38 minit 55 saat dan ia dilakukan ketika di Tokyo Marathon 2016 baru-baru ini.

“Memang saya mengidamkan membawa bendera Malaysia ke peringkat Olimpik sekiranya diberi peluang, selain masa untuk berlatih dengan cukup. Namun, saya anggap untuk memperbaiki catatan masa selama 20 minit dalam tempoh empat tahun agak sukar.

“Malah, perjalanan pastinya sukar dan memakan lebih banyak masa, mungkin pada temasya ­Olimpik tahun 2024 peluang saya akan lebih cerah,” katanya ketika ditemui pada sesi pelancaran kempen minuman isoto­nik, Lucozade Sport ‘Fuel Your Performance’ di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Edan turut berharap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menyenaraikan acara maraton di Sukan SEA di Kuala Lumpur pada tahun depan.

MOM sebelum ini mengumumkan acara olahraga jarak jauh seperti marathon, 10,000 meter dan 3,000 meter berhalangan lelaki dan wanita, dekatlon serta heptatlon disingkirkan daripada senarai 34 jenis sukan dan 342 acara untuk Sukan SEA 2017.

Malaysia tidak memenangi sebarang pingat menerusi lapan acara yang digugurkan itu sejak temasya Sukan SEA Myanmar 2013 dan Singa­pura 2015.

Sukan SEA Kuala Lumpur dijadual bermula dari 19 hingga 31 Ogos 2017 dan Malaysia menjadi penganjur kali keenam sebagai tuan rumah selepas menganjurkan temasya itu sukan peringkat Asia Tenggara itu pada 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001.

- Advertisement -