Saingan Sukan SEA ke 29 yang akan bermula pada Ogos menyaksikan ratu trek negara, Fatehah Mustafa menjadi atlet yang paling banyak mengambil bahagaian.

Beliau akan mengambil bahagian dalam acara pecut individu dan berpasukan, keirin dan ujian masa.

Perkara tersebut disahkan Naib Presiden Persekutuan  Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Omar Saad yang hadir ke mesyuarat pengurus pasukan bagi Sukan SEA ke 29 di pejabat Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Fatehah menjadi sandaran PKBM untuk menyumbang pingat emas dan kita mengharapkan keempat empat acara itu beliau mampu untuk menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara,”kata Omar.

Tambahnya lagi, jaguh keirin negara, Azizul Hasni Awang dan Mohd Shah Firdaus Shahrom antara yang disahkan akan turun mengambil bahagian.

Azizul akan memgambil bahagian dalam acara keirin dan pecut manakala Firdaus akan menyertai keirin, ujian masa 1 kilometer, dan pecut berpasukan bersama sama Muhd Fadil Mohd Zonis, Muhd Shariz Efendi Mohd Shahrin dan Muhd Khairil Nizam Rasol.

Omar menjelaskan pemilihan ini dibuat oleh Ketua Jurulatih skuad trek negara yang berpengkalan di Melbourne, Australia, John Beasly    

Sementara itu, lima pelumba Terengganu Cycling (TSG), Harif Salleh, Anuar Manan, Mohd Zamri Salleh, Muhd Adiq Hussaini Othman dan Shahrul Mat Amin akan mewakili Malaysia bagi acara lebuhraya.

MOM juga meletakkan sasaran 13 pingat emas kepada kontinjen berbasikal di temasya Sukan SEA ke 29 yang berlangsung dari 19 hingg 30 Ogos.

Acara lebuhraya dijadual bermula dari 21 hingga 24 Ogos dan menawarkan lima pingat emas manakala acara trek akan berlangsung pada 27 hingga 29 dengan 13 pingat emas menjadi rebutan sementara BMX  pada 26 Ogos, mempertaruhkan dua pingat emas. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -