Zulfadli Zulkifli

Ketua jurulatih perseorangan Cheras BC, Rashid Sidek mengharapkan lebih sengat daripada pemain tempatan tatkala pasukan itu berhasrat mengekalkan rentak kemenangan di saingan Purple League yang akan kembali bersambung pada Rabu selepas berehat selama lebih dua minggu.

Cheras BC adalah antara empat pasukan yang membuka tirai edisi kedua Purple League dengan mencatat dua kemenangan setelah menewaskan Ampang Jaya BC 11-7 dan kemudiannya Puchong United BC juga dengan keputusan 11-7.

Ini membantu Cheras untuk berada di tangga keempat di belakang pendahulu Nusajaya BC, Muar City BC dan Serdang BC yang turut unggul mencatat dua kemenangan pada minggu pembukaan.   

Begitupun, daripada sejumlah 22 mata yang dikutip Cheras, pemain tempatan hanya menyumbang 10 mata – 8 mata menerusi perseorangan lelaki dan 2 mata menerusi acara beregu manakala selebihnya hadir menerusi pemain luar negara. 

Justeru tidak hairanlah Rashid, bekas ketua jurulatih kebangsaan bersetuju betapa pasukan itu perlu bergantung kepada kudrat pemain luar untuk meraih mata dan menggesa pemain tempatan menggunakan kesempatan beraksi di Purple League sebagai medan meningkatkan kualiti permainan masing-masing.

“Kalau kita mahu harapkan pemain tempatan sahaja, susah untuk kita beri cabaran kerana kita tidak cukup kuat. Kita harapkan pemain antarabangsa untuk membantu kita pergi lebih jauh. Apa yang saya lihat, pemain tempatan boleh jadikan kejohanan ini sebagai platform persiapan dan pendedahan terbaik kerana tidak banyak pertandingan untuk mereka di peringkat tempatan dan tidak semua pemain dihantar untuk kejohanan di luar,” ujar Rashid.

Antara pemain tempatan yang membawa cabaran Cheras dalam acara perseorangan adalah Mohamad Arif Latif, bekas juara remaja dunia Zulfadli Zulkifli dan pemain pelapis kebangsaan Soong Joo Ven manakala pemain seperti Tan Aik Quan, Zakri Latif dan Ng Hui Lin membawa cabaran dalam acara beregu.  

Arif diturunkan dalam kekalahan kepada Hayom Rumbaka pada perlawanan menentang Ampang Jaya manakala Zulfadli beraksi pada perlawanan menentang Puchong United dan menang ke atas Tanongsak Saensomboonsuk. Joo Ven pula beraksi dalam kedua-dua perlawanan dan mencatat satu kemenangan dan satu kekalahan.

Cheras akan menentang Petaling BC pada Jumaat diikuti Bangsar Hawks pada Sabtu dengan Rashid mengakui ianya akan menjadi aksi yang cukup sukar buat pasukannya apatah lagi sandaran utama dari Indonesia yang telahpun menghadiahkan 6 mata dari dua perlawanan, Markis Kido/Afiat Yuris Wirawan tidak dapat diturunkan. 

“Kita akan berdepan lawan yang lebih sukar selepas ini. Petaling khususnya mempunyai ramai pemain hebat. Pemain saya mungkin perlu berdepan (Kenichi) Tago, Goh V Shem atau Jorgensen. Kita juga tiada Markis Kido minggu ini. Ini peluang buat pemain-pemain tempatan untuk tingkatkan permainan dan tonjolkan kebolehan mereka.

“Bagi saya, saya akui Cheras adalah sebuah pasukan pertengahan, kita tidak terlalu kuat atau terlalu lemah, begitupun kita ada kebolehan untuk menang, ada kualiti untuk menyerlah. Pemain-pemain akan beri komitmen lebih dari 100%,” tambah Rashid.

Selain Cheras yang mahu teruskan momentum kemenangan, saingan minggu ini akan menyaksikan Nusajaya BC dan Muar City BC turut turun dengan misi meneruskan permulaan sempurna mereka tatkala tumpuan turut terarah kepada empat pasukan yang mencari kemenangan sulung.

Petaling Jaya BC, Ampang Jaya BC, Kepong BC dan Kajang BC masih belum mencatat sebarang kemenangan selepas beraksi dua perlawanan dan mereka pastinya mahu segera kembali ke landasan kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam liga 12 pasukan.

- Advertisement -