82 hari menjelang berlangsungnya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, kem olahraga negara terus memperlihatkan peningkatan positif dan potensi untuk menyerlah dalam usaha untuk kembali merampas gelaran ‘raja’ olahraga Asia Tenggara.

Terbaru, atlet senior lari berpagar 110m negara, Rayzam Shah Wan Sofian melakar sensasi di bumi Jerman apabila memecahkan rekod kebangsaan berusia 23 tahun milik jaguh lari berpagar negara, Nur Herman Majid.

Rayzam Shah melakukan 13.67s di Kejohanan Olahraga di Weinheim, Jerman sekaligus mengatasi rekod 13.73s milik Nur Herman yang dilakukannya ketika beraksi di temasya Sukan Asia di Hiroshima, Jepun pada 1994.

Catatan masa Rayzam Shah ini bermakna dia juga sudah mengatasi rekod Sukan Sea dipegang pelari Thailand, Jamras Rittidet (13.69s) yang dilakukan ketika di Sukan SEA Singapura dan kini berpeluang cerah untuk kembali merampas pingat emas di temasya dwitahunan itu selepas 10 tahun.

Untuk rekod, Rayzam Shah memenangi pingat emas acara 110m lari berpagar pada temasya Korat 2007 ketika usianya baru 18 tahun namun untuk empat edisi berikutnya (2009, 2011, 2013 dan 2015) acara itu didominasi Jamras.

Dengan Jamras sudahpun bersara, pencabar terdekat buat Rayzam Shah dalam usaha meraih emas di KL 2017 adalah pelari Laos, Anouxone Xaysa yang mempunyai catatan peribadi terbaik 14.00s.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Karim Ibrahim memaklumkan bahawa badan induk itu akan memberikan RM5,000 sebagai insentif kepada Rayzam Shah dan mahu atlet berusia 29 tahun itu melayakkan diri secara merit ke Kejohanan Olahraga Dunia IAAF, London yang akan berlangsung pada Julai.

Untuk layak ke kejohanan itu, pelari kelahiran Sabah itu perlu merekodkan catatan masa 13.48 sebelum tarikh akhir kelayakan iaitu 23 Julai. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -