Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid menghargai usaha Malaysian Football League (MFL) menganjurkan Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual yang dianggap sebagai pemangkin semangat buat pemain-pemain selepas mengharungi musim sukar gara-gara penularan pandemik COVID-19.

Pemain berusia 22 tahun itu mengakui gembira apabila turut dicalonkan dalam kategori Pemain Tengah Terbaik tahun ini dan berharap dapat mempertahankan gelaran buat kali kedua berturut-turut.

Untuk rekod, Safawi berjaya mengekalkan gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali kedua berturut-turut tahun lalu, Pemain Muda Harapan 2018, Pemain Tengah Terbaik 2018, Penyerang Terbaik 2019 dan Pemain Paling Popular 2019.

Bagaimanapun bagi kategori Pemain Tengah Terbaik kali ini, dia akan dicabar calon lain iaitu Afiq Fazail (JDT), Brendan Gan (Selangor), Gonzalo Cabrera (JDT), Leandro dos Santos (Perak), Leandro Velazquez (JDT), Lee Tuck (TFC), Faisal Abdul Halim (Pahang), Syahmi Safari (Selangor) dan Nor Azam Abdul Azih (Pahang).

Jelas Safawi, dia berpuas hati dengan prestasinya bersama pasukan dengan meledak 7 gol secara keseluruhan pada musim ini dalam saingan CIMB Liga Super sebelum berhijrah ke kelab Portimonense SC, Oktober lalu selain menyifatkan trofi yang pernah dimenanginya dalam anugerah berprestij itu sentiasa memberi motivasi kepadanya untuk berada di tahap terbaik setiap musim.

“Semestinya saya gembira apabila dapat tercalon, dan kali ini saya sedar calon-calon lain juga tidak kurang hebatnya untuk merebut trofi itu.

“Untuk saya sendiri, memang kalau boleh saya nak menang lagi sekali dan kalau menang, ini bermakna sudah tiga tahun berturut-turut saya meraih trofi dalam ABK (lain-lain kategori) dan itu yang membuatkan saya ingin terus berusaha untuk sentiasa melakukan yang terbaik setiap tahun.

“Secara keseluruhannya, memang saya berpuas hati dengan prestasi saya dan juga pasukan sebab walaupun dengan COVID-19 menghalang kita beraksi untuk satu musim penuh, tetapi Alhamdulillah kita semua dapat harunginya bersama dan saya sendiri berjaya untuk sekurang-kurangnya meledak tujuh gol peribadi pada musim ini”, jelasnya.

Sementara itu, penjaga gol Melaka yang juga paling banyak memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik, Khairul Fahmi Che Mat tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk menggungguli kategori itu pada musim ini memandangkan persaingan antara calon lain cukup sengit.

Pemain kelahiran Kelantan ini yang telah memenangi kategori tersebut sejak tahun 2010 sehingga 2013 dan kali terakhir pada 2016 bagaimanapun sudah berpuas hati apabila tercalon pada tahun ini selain menganggap peluangnya untuk menang agak tipis.

“Alhamdulillah saya tercalon untuk tahun ini dan sebenarnya ini semua hasil kerjasama satu pasukan yang banyak membantu walaupun kita tahu perlawanan musim ini juga tidak banyak, jadi semua pemain hanya ada peluang terhad untuk menonjolkan aksi terbaik.

“Kalau ikutkan calon yang ada, kita semua tahu Farizal Marlias (JDT) tetap yang terbaik, tetapi saya berminat untuk melihat calon daripada Liga Premier seperti Samuel Somerville (Pulau Pinang) dan Zamir Selamat (Kuala Lumpur) untuk mungkin mencipta kejutan pada tahun ini.

“Kedua-dua mereka juga tidak kurang hebatnya dalam membantu pasukan sehingga layak ke Liga Super, tetapi apa-apa pun kita tunggu sahaja siapakah yang terbaik untuk dinobatkan pemenang”, jelasnya.

Enam lagi calon lain bagi kategori Penjaga Gol Terbaik adalah Iqbal Suhimi (Kuching FA), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (PJ City FC), Khairulazhan Khalid (Selangor), Remezey Che Ros (UKM FC), Sharbinee Allawee (Pahang) dan Suhaimi Husin (Terengganu FC II).

ABK20 Virtual buat kali pertama membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri professional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.

Undian sudah dibuka kepada semua penyokong bermula Isnin (21 Disember 2020) jam 10 pagi dan akan berakhir pada Jumaat (25 Disember 2020) 11.59 malam.

Penyokong boleh membuat undian dengan melayari bit.ly/ABK20Fans .

- Advertisement -