Walaupun sedang menghampiri penghujung karier, penyerang baru Perlis, Safee Sali masih belum menutup pintu untuk kembali menyarung jersi kebangsaan, andai khidmatnya diperlukan.

Pemain yang bakal berusia 35 tahun dan pernah dilabel salah seorang penggempur terbaik bolasepak tempatan itu mengidam menjadikan singa utara sebagai platform untuk membuktikan sentuhannya seterusnya memikat perhatian pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Menurutnya, “Memang kalau ditanya keinginan itu tetap ada, saya masih boleh menyumbang dan tidak pernah berputus asa. Mungkin kalau saya konsisten menjaringkan gol dan beraksi baik bersama Perlis musim depan, saya boleh membuatkan barisan kejurulatihan skuad negara kembali tertarik dan memberikan saya peluang untuk kembali ke kem kebangsaan.

“Mungkin selera jurulatih adalah pemain muda, tetapi saya rasa jika mana-mana pemain tidak kira usia masih boleh menyumbang dan berada pada tahap prestasi terbaik, eloklah jika diberikan peluang. Saya akan cuba membuktikannya.”

Sebagai rekod, Safee yang pernah muncul penjaring terbanyak ketika membantu Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki pada 2010 kali terakhir mewakili Harimau Malaya adalah pada 2017 ketika di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee.

Sepanjang hampir sedekad menyarung jersi Malaysia, Safee telah menjaringkan lebih 20 gol dengan yang paling diingati adalah dua gol ketika Malaysia tewas 3-5 kepada Singapura pada Julai 2011 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2014.

Selasa lalu, bekas penyerang Pelita Jaya dan Arema Malang dalam Liga Indonesia ini diumumkan sebagai wajah baru dalam transformasi besar-besaran Perlis 2019 yang dijangka akan bermain dalam Liga Premier musim depan walaupun sekadar menamatkan cabaran di tangga tercorot Kumpulan A Piala FAM.

Selain Safee, Perlis yang sejak beberapa musim lalu dihimpit masalah kewangan kritikal telah turut mendapatkan khidmat bekas kapten Kelantan Badhri Radzi, Amiridzwan Taj, Aziz Ismail, Azmi Muslim dan Azmizi Azmi. MUHD AIMAN 

- Advertisement -