hockey.6

Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI Thunderbolts) bakal turun pada aksi final Piala Remaja TNB dengan impian untuk menjulang piala berprestij itu buat kali keenam berturut-turut.

Namun lawan mereka, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ Thunderbolt) dilabel oleh ketua jurulatih SSTMI, Wan Roslan Wan Rahman sebagai pasukan yang mempunyai kejutan tersendiri.

Aksi final mengembalikan memori Wan Roslan pada 2009 dimana SSTMI yang ketika itu digelar Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) tewas kepada SSBJ.

“Saya masih ingat ketika itu kami kalah kepada SSBJ menerusi penentuan penalti.

“Apapun, fokus kami pada kali ini adalah untuk menjulang piala keseluruhan ini buat kali keenam berturut-turut sejak 2011. Tapi setiap pemain harus berwaspada dengan SSBJ yang saya lihat mempamer prestasi cukup mendadak pada musim ini. Sebab itu mereka perlu bersedia sebaik-baiknya apabila beraksi pada perlawanan final nanti,” katanya.

Selain memburu trofi Piala Remaja TNB bua kali keenam berturut-turut, SSTMI juga mengintai kejuaraan berganda buat kali kelima berturut-turut sejak 2012.

Sementara itu, ketua jurulatih SSBJ, Lokman Yahaya menuntut barisan pemainnya untuk mengurangkan kesilapan ketika bertemu Anderson Thunderbolt pada aksi separuh akhir sebelum ini.

“Saya perlu fokus pada bahagian pertahan kerana nampaknya banyak kelemahan di posisi ini. Pemain juga perlu memantapkan diri mereka ketika melakukan pukulan sudut penalti sebab daripada tujuh pukulan sudut penalti ketika bertemu Anderson, hanya satu gol saja dapat dijaringkan,” katanya.

Selain aksi final antara SSTMI dan SSBJ turut berlangsung, perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat antara SSP-MSP Thunderbolt dengan Anderson Thunderbolt.

- Advertisement -