Team Tergganu-01

Terengganu menepati ramalan awal apabila mendominasi hari pertama Kanu SUKMA XVIII dengan meraih lima daripada enam pingat emas yang dipertandingkan menerusi acara perseorangan (K1) 1000m wanita, berpasangan lelaki (K2) 1000m dan K21000m wanita serta kuatet (K4) 1000m lelaki dan wanita di Tasik Timah Tasoh di sini.

Lebih manis, pasangan dari negeri berkenaan, Akmal Idayu Mat Razik dan Fatin Ajeerah Wahab memecah rekod SUKMA dan kebangsaan dengan catatan 4:34.32s. mengatasi 4:37.800s yang dicatatkan pasangan Johor pada tahun 2000.

Bagi acara tersebut, perak dimenangi Aimi ‘Ayuni Azwan dan Aisyah Farhanah Azwan (4:49.92s) dari Wilayah Persekutuan manakala pasangan Perlis, Nur Afdzatul Affifah Shohibi dan Nurul Najihah Bahari (5:00.71s) mendapat gangsa.

Pingat emas Kanu pertama Terengganu disumbangkan oleh Nor Azita Ibrahim menerusi acara K1 1000m wanita dengan catatan 5:97.71s mengatasi Norfatinah a/k Olleh (5:12.70s) yang meraih perak manakala Aimi ‘Ayuni Azman (5:26.55s) sekadar memperoleh gangsa.

Bagaimanapun, acara K1 1000m lelaki menyaksikan atlit Wilayah Persekutuan Mohd. Khirulniza Salleh meraih emas dengan catatan 4:31.20s, perak pula diperoleh Muhammad Ashraf Naim Mat Azan (4:32.53s) manakala peserta tuan rumah, Ku Azalan Ku Ismail (4:37.57s) mengutip gangsa.

Berikutan itu, Terengganu terus membuat kebangkitan apabila meraih dua lagi emas menerusi acara K2 1000m lelaki dan K4 1000m wanita.

Ia dilakukan dengan cemerlang oleh pasangan Ahmad Shafiq Moha dan Muhammad Syukri Hamzah nenerusi catatan 3:57.91s untuk acara K2 1000m sebelum kuatet Ahmad Idham Mohd. Hisham, Ahmad Shafiq, Muhammad Ashraf Naim dan Muhammad Uweis Arqroni Rahmat menambah koleksi emas Terengganu dalam acara K4 1000m lelaki.

Hari kegemilangan Terengganu ‘ditutup’ dengan sebutir lagi emas pada saingan terakhir acara K4 1000m wanita menerusi kuatet Akmal Idayu, Nor Azira Ibrahim, Nor Azita dan Nusaibah Syahida Ibrahim dengan catatan 4:34.63s.

- Advertisement -