Keyakinan tinggi di samping memberi penuh tumpuan ketika latihan menjadi azimat buat Nor Azita Ibrahim ketika meraih dua pingat emas Kanu SUKMA XVIII bagi acara perseorangan (K1) 1000m wanita di Tasik Timah Tasoh di sini.
Menurut remaja berusia 18 tahun dari Chendering, Terengganu itu, dia juga sering mengamalkan bacaan surah Yassin untuk mendapatkan ketenangan sebelum berlumba.
“Memang ini SUKMA pertama saya sertai dan juga emas pertama saya perolehi, tetapi sebelum berlumba saya memang sudah mempunyai keyakinan akan berjaya,” katanya selepas berakhir acara hari ini.
Walaupun ada pencabar negeri lain yang mempunyai pengalaman beraksi pada SUKMA terdahulu, Nor Azita memberitau, dia lebih tertumpu kepada dirinya daripada terlalu memikirkan aspek main.
“Saya beri tumpuan sepenuhnya ketika latihan, kerana percaya usaha yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan membuahkan hasil,” tambahnya.
Sementara, pemecah rekod kebangsaan acara berpasangan (K4) wanita 1000m, Akmal Idayu Mat Razik dan Fatin Ajeerah Wahab tidak menduga dapat melakukan catatan luar biasa itu.
Menurut Akmal Idayu, sokongan tinggi rakan-rakan dan keazaman tinggi telah mendorong mereka untuk berlumba sebaik mungkin.
Kami cuma beri tumpuan untuk menang, tak jangka pula dapat catat rekod kebangsaan dan SUKMA,” katanya.