Oleh Muhammad Aiman
Gol lewat permainan oleh pemain import, Mahamadou Sumareh membantu Pahang melengkapkan slot separuh akhir dengan menyingkirkan juara bertahan, Johor Darul Takzim.
Meskipun tewas 1-2 dalam aksi timbal balik di Stadium Larkin pada Ahad, Pahang mara menerusi kelebihan agregat 4-3 setelah terdahulu melakar kemenangan 3-1 di gelanggang sendiri pada 1 April lalu.
Namun, JDT perlu menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan mereka mempertahankan kejuaraan yang dimenangi buat kali pertama tahun lalu.
Harimau Selatan pada satu ketika dilihat tidak akan bermasalah untuk menterbalikkan keputusan setelah berjaya memadam kelebihan dua gol milik Pahang dan mengikat agregat 3-3 menerusi jaringan seawal minit kelima Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra pada minit ke-22.
Cabrera melepaskan rembatan leret menewaskan penjaga gol Pahang, Wan Azraie Wan Teh setelah menerima umpanan ketua pasukan, Safiq Rahim manakala gol Guerra pula terhasil setelah pemain itu melepasi perangkap ofsaid untuk menyudahkan hantaran Azrif Nasrulhaq.
Tatkala ramai menjangkakan JDT akan tampil garang memburu tambahan jaringan di separuh masa kedua, ketua jurulatih Benjamin Mora memilih untuk bermain defensif bagi mempertahankan kedudukan 2-0 dan memburu tempat di separuh akhir menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan.
Taktikal Mora nyata memakan diri tatkala ianya dimanfaatkan skuad tok gajah bimbingan Dollah Salleh untuk menjaringkan gol pada minit ke-87 hasil tandukan Sumareh setelah pemain itu menerima hantaran Nuridzuan Abu Hassan.
Meskipun mengakui bertanggungjawab di atas kegagalan JDT meneruskan kemaraan, Mora tidak merasakan permainan defensifnya telah membawa padah sebaliknya lebih berminat untuk menyelar keputusan pengadil yang menafikan sepakan penalti buat JDT.
“Perlawanan ini mungkin berakhir dengan jaringan 3-0 namun kami dinafikan sepakan penalti oleh pengadil. Ia satu keputusan teruk dan mempengaruhi permainan. Apapun saya bertanggungjawab di atas kegagalan ini, kami tidak bermain baik di tempat lawan, ia adalah salah kami dan malam ini pemain berikan komitmen 100 peratus, namun keputusan pengadil menjadi satu punca,” kata Mora.
Pahang menyertai Terengganu, Negeri Sembilan dan Kedah yang lebih awal mara ke separuh akhir pada Jumaat. Di separuh akhir, Pahang akan berdepan Negeri Sembilan yang merupakan pendahulu 100 PLUS Liga Premier.